Mudah dapat bekalan, ayam saiz biasa

Johor Bahru : Bekalan ayam muda bulat kini lebih mudah diperolehi dan bekalan sememangnya mencukupi menjelang Aidiladha, Ahad ini.

Tinjauan di Pasar Awam Larkin juga mendapati, rata-rata meja jualan penuh dengan ayam itu, ayam juga bersaiz standard iaitu kira-kira 1 kilogram (kg) hingga dua kg dan dijual mengikut harga siling baru, RM9.40 sekilogram.

Peniaga ayam, Azman Marjusan, 57, berkata, tiada lambakan ayam terjadi di pasar awam ini, malah jualan ayam berjalan lancar seperti sebelumnya dan saiz ayam seperti biasa.

“Kalau dua hari lepas memang ayam yang datang dari ladang besar-besar ada mencecah hingga tiga kg. Pelanggan pun terkejut kerana seekor ayam kalau tiga kg harga sekitar RM28 tetapi tengok hari ini, 300 ayam yang saya tempah sudah bersaiz standard sekitar sekilo hingga dua kg seekor.

“Tiada berlaku lambakan ayam di sini, alhamdulillah semuanya terjual seperti selalu. Bagi kami sebagai peniaga, situasi ini lebih baik daripada terputus bekalan ayam. Jika terputus bekalan, pelanggan marah, kami juga tiada apa boleh dijual. Jadi lebih baik begini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, peniaga Rwza Mohd Noh, 35 berkata, ketika ini tempahan ayam mudah diperolehi.

Malah jika peniaga tempah 2,000 ekor sehari sekalipun akan dapat jumlah yang sama.

“Kita ini peniaga, kalau bising sangat ini tidak kena, itu tidak kena orang marah. Mudah dapat bekalan ayam pun sudah bersyukur, jadi kami boleh berniaga.

“Ayam datang juga saiz biasa. Alhamdulillah, jualan ayam seperti biasa tiada isu lambakan ayam di sini. Hari ini sudah enam tong, kira-kira 200 ayam saya terjual.

“Untuk bekalan Aidiladha, biasanya saya akan menggandakan tempahan. Hari biasa 300 ekor untuk musim perayaan bermula esok, saya akan ambil 600 hingga 1,000 ekor,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker