Speedy Tigers berdepan 30 aksi persediaan ke Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Pasukan hoki lelaki negara bakal berdepan lebih 30 perlawanan antarabangsa sebagai persediaan menjelang Piala Dunia di India bermula 13 hingga 19 Januari tahun depan, kata ketua jurulatih, A Arul Selvaraj.

Menurutnya, Piala Sultan Azlan Shah pada November di Ipoh dan Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara 2022 pada 28 November hingga 4 Disember, antara saingan utama yang bakal dihadapi selain mendapat undangan ke Sepanyol pada Disember untuk aksi persahabatan.

“Kita cuba adakan lawatan atau persahabatan minggu ketiga dan keempat September dan Oktober, tapi kalau ada terlalu banyak perlawanan dalam tempoh yang singkat kita akan pertimbangkan semula sebab perlawanan berkualiti tinggi penting untuk kita.

“Kita akan cari lawan yang ranking lebih tinggi. Saya dah berhubung dengan Australia, Belgium dan Belanda, jadi kita nak main bersama pasukan macam ini dan ia sangat penting buat pasukan,” katanya ketika ditemui semalam.

Arul Selvaraj berkata beliau pada masa sama, bakal memberi penekanan untuk membuat latihan meningkatkan ketahanan fizikal dengan menjadualkan ‘fasa fizikal’ atau ‘strength and conditioning’ pada bulan ini.

Jelasnya, setakat ini beliau tiada perancangan untuk menukar pemain dan akan terus mengekalkan pasukan yang sedia ada untuk beraksi di pentas berprestij di India kelak.

Skuad Speedy Tigers’ berjaya mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2023 selepas muncul naib juara di Piala Asia Mei lepas.

Ia merupakan kali kesembilan Malaysia layak ke Piala Dunia, dengan pencapaian terbaik ketika menamatkan saingan di tempat keempat pada 1975.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker