IMIGRESEN SERBU PUSAT HIBURAN SAJI GRO

Putrajaya : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu sebuah pusat hiburan yang terletak di kawasan Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada 06 Julai 2022 dan berjaya menahan seramai 166 orang warga asing.
Operasi dijalankan ke atas sebuah premis pusat hiburan yang menyediakan perkhidmatan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing. Hasil risikan mendapati premis ini dikunjungi ramai pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan.
Unit Operasi dari Bahagian Operasi,Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Imigresen Malaysia Putrajaya telah menyerbu pusat hiburan ini pada jam 11.30 malam dengan kekuatan seramai 39 orang Pegawai Imigresen.
Semasa serbuan, pusat hiburan tersebut penuh dengan pelanggan yang sedang berhibur. Terdapat cubaan melarikan diri dan provokasi daripada GRO, pekerja dan pelanggan semasa serbuan dijalankan. Namun situasi dapat dikawal tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Pusat hiburan ini dipercayai baru sahaja beroperasi pada 05 Jun 2022 yang lalu dan menawarkan khidmat GRO warga asing dengan kadar harga RM100 hingga RM1000.
Pelanggan boleh membeli selempang dengan tanda harga tersebut dan memilih gadis GRO dengan menyarungkan selempang mengikut pilihan kadar harga pada selempang yang dibeli.
Keseluruhan 166 orang warga asing yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki dan 133 wanita warga Thailand, seorang lelaki dan 12 wanita warga Vietnam, dua orang perempuan warga Laos, enam orang lelaki warga Bangladesh dan tiga orang perempuan warga Indonesia.
Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker