Jambatan sementara Kampung Iboi dijangka siap esok

Baling: Jambatan keluli ‘Old Bailey Bridge’ kini sedang dibina di Kampung Iboi bagi menggantikan jambatan asal yang runtuh dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air pada petang Isnin lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata jambatan sementara itu mula dibina semalam dan dijangka siap serta boleh digunakan esok.

“Kita akan cuba siapkan secepat mungkin, penduduk sendiri ada minta supaya jambatan itu disiapkan sebelum Hari Raya Aidiladha bagi memudahkan mereka membuat persiapan.

“Jadi pada petang semalam kita memulakan kerja-kerja memasang jambatan itu yang membabitkan 20 orang kakitangan dari Bahagian Jalan dan Cawangan Kerja Mekanikal, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah dan juga dibantu 10 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata jambatan sepanjang 27 meter dan lebar 5.4 meter itu mampu menampung beban sehingga lima tan bagi satu hala.

Katanya, kesemua material dan bahan yang digunakan untuk membina jambatan itu dan jentera berat yang digunakan adalah milik atau diperoleh daripada stor JKR, justeru pembinaannya tidak membabitkan sebarang kos.

“Jambatan sementara akan terus kekal di situ untuk kegunaan penduduk sehinggalah jambatan baharu dibina nanti,” jelas beliau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Iboi Abu Hasan Samah, 62, berkata pembinaan jambatan sementara itu akan memudahkan urusan seharian kira-kira 2,000 penduduk dari beberapa buah kampung.

Menurutnya, selepas jambatan asal musnah dalam kejadian kepala air pada Isnin lalu, penduduk antaranya dari Kampung Masjid Iboi, Kampung Bok Bak, Kampung Tanjung Luas dan Kampung Tanjung Nering perlu melalui jalan jauh dan memakan masa untuk keluar ke bandar.

“Kami di Kampung Iboi juga menggunakan jambatan itu untuk ke Kampung Masjid Iboi kerana masjid terletak di situ. Jadi kita berterima kasih kepada kerajaan dan harap pembinaan jambatan disiapkan secepat mungkin agar memudahkan penduduk,” katanya.

Bagi seorang penduduk Nor Atikah Ramli, 27, ketiadaan jambatan ketika ini menyebabkan penduduk terpaksa melalui jalan yang lebih jauh dan memakan masa sehingga 20 minit untuk ke Pekan Kupang berbanding hanya lima ke 10 minit jika melalui jambatan.

“Sekarang ini kami terpaksa guna jalan jauh yang jarang digunakan, perlu melalui kawasan hutan dan amat gelap pada waktu malam. Kalau ada jambatan sementara ini bukan sahaja lebih dekat tapi juga rasa lebih selamat,” katanya.

Sebelum ini, jambatan konkrit di Kampung Iboi yang menjadi laluan utama bagi penduduk sekitar untuk aktiviti seharian runtuh dan dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air yang turut mengorbankan tiga sekeluarga pada petang Isnin lalu.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker