Lebuh raya utama dijangka mulai sesak petang ini

KUALA LUMPUR: Aliran trafik beberapa lebuh raya utama negara dijangka akan mengalami peningkatan jumlah kenderaan menjelang petang ini.

Keadaan trafik di Lebuhraya Utara Selatan (LRUS), Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) serta Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1) sehingga tengah hari tadi menunjukkan aliran lancar serta terkawal.

Bagaimanapun, menurut Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Mohd Yusuf Abdul Aziz, pihaknya menjangkakan aliran trafik akan bertambah selepas solat Jumaat hari ini.

“Kita menjangkakan jumlah kenderaan akan bertambah pada sebelah petang ini, selepas solat Jumaat.



“Jumlah kenderaan yang menggunakan rangkaian lebuh raya PLUS arah ke utara dan selatan dijangka meningkat kepada 1.9 juta kenderaan hari ini berbanding 1.6 juta kenderaan,” katanya kepada BH, hari ini.

Katanya, PLUS mencadangkan waktu perjalanan keluar dan masuk Lembah Klang kepada semua pengguna lebuh raya PLUS bagi memastikan kelancaran aliran trafik sempena Aidiladha.

“Pada tarikh 7 Julai (semalam) hingga 10 Julai, orang ramai yang ingin pulang ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (utara) dan Johor dicadangkan memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi, manakala untuk lain-lain negeri, selepas jam 1 tengah hari.

“Untuk perjalanan kembali ke Lembah Klang pada 10 hingga 12 Julai, semua pengguna dicadangkan memulakan perjalanan sebelum jam 9 pagi,” katanya.



Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, Ketua ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, memaklumkan jumlah kenderaan di KLK da LPT 1 mula bertambah menjelang tengah hari dan jumlah dijangka bertambah petang ini.

“Aliran trafik KLK – Karak mula perlahan sebelum Plaza Tol Gombak menghala ke Pantai Timur selain kesesakan berlaku di Kilometer (KM) 31.6 hingga KM37.2 arah Gombak ke Genting Sempah.

“Bagaimanapun, aliran trafik di LPT 1 setakat ini masih lancar di kedua-dua hala. Kita menjangkakan jumlah kenderaan menghala ke Pantai Timur akan semakin bertambah pada sebelah petang ini,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker