Shinzo Abe, bekas PM Jepun mati ditembak
TOKYO: Bekas perdana menteri Jepun Shinzo Abe disahkan meninggal dunia selepas beliau ditembak pada acara kempen hari ini, penyiar awam NHK dan agensi berita Jiji melaporkan.
“Menurut pegawai kanan LDP (Parti Demokratik Liberal), bekas perdana menteri Abe meninggal dunia di sebuah hospital di bandar Kashihara, wilayah Nara, tempat beliau menerima rawatan perubatan.
Beliau berusia 67 tahun,” kata NHK.
Terdahulu, AFP yang memetik NHK berkata, lelaki berusia 40-an ditahan kerana cubaan bunuh dan senjata api digunakan dirampas.
Bekas pemimpin itu menyampaikan ucapan pada satu acara menjelang pilihan raya apabila bunyi tembakan yang jelas kedengaran, lapor NHK dan agensi berita Kyodo.
“Ketika dia sedang berucap, seorang lelaki datang dari belakang,” kata seorang wanita yang ditemukan di lokasi kejadian.
“Tembakan pertama berbunyi seakan pistol mainan, namun Abe tidak jatuh sebelum terdengar tembakan yang lebih kuat.
“Tembakan kedua lebih jelas, anda boleh melihat percikan api dan asap,” katanya.
Kejadian itu menyebabkan Abe rebah dengan lehernya berdarah, kata sumber dari Parti Liberal Demokratik (LDP) kepada agensi berita Jiji.
LDP dan polis tempatan tidak dapat mengesahkan kejadian itu dalam tempoh singkat.
NHK dan Kyodo kedua-duanya melaporkan Abe sudah dibawa ke hospital.
Istilah yang digunakan di Jepun menunjukkan ‘tiada tanda masih hidup’ (no vital sign), dan biasanya digunakan sebelum pengesahan rasmi kematian oleh koroner.
Beberapa media melaporkan Abe kelihatan ditembak dari arah belakang.
Kerajaan berkata, pasukan petugas sudah ditubuhkan susulan insiden itu dan jurucakap tertinggi kerajaan dijangka memberi kenyataan tidak lama lagi.
Abe, Perdana Menteri Jepun paling lama berkhidmat dengan memegang jawatan itu bermula 2006 sebelum sekali lagi dipilih pada dari 2012 hingga 2020.
Dia bagaimanapun terpaksa berundur kerana mengalami masalah kesihatan berkaitan usus.
AFP