Tak kisah dukung Mat Duan

Kemaman: Keikhlasan dalam persahabatan menyebabkan Arif Luqman Abdul Wahab sentiasa berada di samping rakan karibnya, Mohamad Ridzuan Othman dalam mengharungi erti susah dan senang kehidupan.

Ini dibuktikan Arif Luqman, 26, apabila sanggup mendukung Mohamad Ridzuan, 26, yang lumpuh bahagian kanan badan setiap kali keluar dengan sahabatnya itu.

Kisah itu tular selepas Mohamad Ridzuan atau mesra disapa Mat Duan memuat naik video yang menunjukkan Arif Luqman mendukungnya untuk duduk di atas motosikal.

Bercerita lanjut, Arif Luqman yang menetap di Kampung Tengah di sini, berkata dia berkenalan dengan Mohamad Ridzuan sejak di sekolah rendah namun mula berkawan baik ketika berada di tingkatan empat kerana mereka adalah rakan sekelas.

“Kami sudah lama berkawan, malah Mat Duan banyak membantu membaiki motosikal saya ketika dia sihat dulu.

“Motosikal itu juga yang ditunggangnya ketika terbabit dalam kemalangan (pada 2019) dulu. Setiap kali Aidilfitri, pasti dia mahu bergambar dengan motosikal saya…mungkin kerana mahu dijadikan kenangan dan video saya mendukungnya turut dimuat naik di TikTok.

“Sejak dia tidak boleh berjalan, saya yang akan membawanya pergi makan dan menemaninya ke pasar raya, bank atau ke tempat lain. Setakat ini, saya akan cuba menolong Mat Duan dan belum pernah menolak permintaannya terutama jika ada masa terluang,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Ridzuan yang menetap di Kampung Darat Penunjuk di sini, berkata dia amat bersyukur kerana mempunyai sahabat baik seperti Arif Luqman yang memahami keadaan dirinya.

“Dia (Arif Luqman) kawan baik saya dan akan ambil saya di rumah jika mahu keluar berjalan atau ada urusan di luar.

“Kebiasaannya, dia akan mendukung saya daripada dalam bilik di rumah sehingga masuk ke dalam kereta. Kiranya, dia sudah banyak menolong terutama selepas saya bergelar orang kurang upaya (OKU),” katanya yang tinggal berdua dengan ibunya, Semek Salleh, 64, dan turut berkongsi video rutinnya menguruskan diri di TikTok.

Berkongsi kisah dirinya, anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, dia sebelum ini bekerja sebagai mekanik dan mempunyai bengkel motosikal namun hilang keupayaan diri sehingga tidak dapat bekerja selepas terbabit dalam kemalangan motosikal pada hujung 2019.

Menurutnya, kemalangan itu mengubah hidupnya sehingga mengambil masa setahun untuk menerima kenyataan dan kini bergerak menggunakan kerusi roda.

“Selain lumpuh, saya juga patah tulang belakang hingga terpaksa ditahan selama 40 hari di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Saya kemudian menjalani rawatan terapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Petaling Jaya, Selangor selama tiga bulan sebelum dihantar ke Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selama enam bulan untuk pemulihan dan baru pulang ke rumah sebelum Ramadan lalu'” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker