Elon Musk batal urus niaga Twitter bernilai AS$44 bilion

SAN FRANCISCO: Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc, Elon Musk, semalam mengumumkan beliau mahu membatalkan perjanjian AS$44 bilion (RM195 bilion) bagi pembelian Twitter Inc.

Beliau, dalam satu kenyataan, berkata langkah itu diambil selepas syarikat gergasi media sosial itu gagal mengemukakan maklumat mengenai akaun palsu di pentas dalam taliannya.

Saham Twitter naik kepada AS$51.70 (RM229) seunit pada April lalu bila Musk mengumumkan hasratnya mahu membeli syarikat itu.

Namun, harganya jatuh kepada AS$35.76 (RM158) seunit sebulan selepas itu apabila komitmen Musk mula dipertikaikan dan semalam, saham Twitter jatuh lagi kepada AS$37 (RM164) seunit.

Peguam Musk memberitahu, Twitter gagal atau enggan bertindak berhubung beberapa permintaan anak guamnya mengenai maklumat akaun palsu atau ‘spam’ yang terdapat di pentas media sosial itu.

“Twitter sudah memungkiri perjanjian dan dilihat memberi maklumat palsu atau mengelirukan ketika membuat persetujuan mengenai perjanjian penggabungan itu bersama Musk.

“Maklumat ini penting bagi mengukur prestasi sebenar kedudukan syarikat berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Twitter dalam maklum balasnya, berkata ia akan saman Musk susulan tindakan membatalkan pembelian.

Pengerusi Twitter, Bret Taylor, menerusi laman mikro blog itu, mengumumkan pihaknya akan bertindak mengikut undang-undang bagi memastikan Musk menghormati dan meneruskan perjanjian itu.

Sebelum ini, Musk memberi amaran akan membatalkan pembelian itu jika Twitter gagal mengemukakan bukti bahawa jumlah akaun ‘spam’ atau ‘bot’ adalah lebih rendah daripada lima peratus keseluruhan pengguna perkhidmatan media sosial itu.

Bulan lalu, Twitter memberikan Musk akses data ‘firehose’ syarikat itu yang mengandungi ratusan juta ‘tweet’ harian pengguna.

BHOnline

Leave a Reply