‘Khemah kenduri tersangkut atas pokok kelapa’

BUTTERWORTH: Sekurang-kurangnya empat rumah di Kampung Jawa Prai, di sini rosak selepas bumbung diterbangkan ribut dalam keadaan hujan lebat, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, dua daripada rumah berkenaan turut mengalami kerosakan bahagian dinding.

Seorang penduduk, Asrul Affendi, 40, berkata tiga daripada empat rumah tidak berpenghuni manakala keluarga sebuah lagi kediaman menetap di rumah lain.

Katanya, kejadian tidak menyebabkan sebarang kecederaan.



“Kejadian berlaku dalam tempoh kurang lima minit. Angin kuat dan menerbangkan bumbung zink keempat-empat rumah sekelip mata.

“Mujurlah keluarga di sebuah rumah itu sempat menyelamatkan diri selepas menyedari bumbung rumah diterbangkan ribut,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, keluarga terbabit kini menumpang di rumah saudara di Prai.

Klip video berdurasi 20 saat menunjukkan ribut menerbangkan bumbung zink turut tular di media sosial sejak petang tadi.



Kejadian angin kuat dan hujan lebat turut melanda beberapa kawasan di Pulau Pinang, hari ini.

Sebuah keluarga yang mengadakan kenduri kesyukuran di kampung sama turut mengharungi detik cemas.

Selain bumbung, angin kencang juga menerbangkan khemah kenduri sehingga tersangkut di atas pokok kelapa berhampiran kediaman mereka.

Menurut Muhamad Hafiz Abdul Halim, 35, kenduri berlangsung di rumah kakaknya sebelum ribut melanda dan kira-kira 30 hadirin sedang menjamu selera ketika kejadian.

“Khemah kenduri diterbangkan kira-kira paras pokok kelapa setinggi 20 meter di hadapan rumah.

“Keadaan bertukar huru-hara dan semua tetamu berserta anggota keluarga kelam-kabut melarikan diri ke dalam rumah untuk menyelamatkan diri.

“Alhamdulillah, kami selamat dn tidak sesiapa dilaporkan cedera,” katanya.

 

 

 

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker