Siasat pemborong jadi dalang penyeludupan minyak masak bersubsidi

Kota Bharu: Siasatan terhadap pemborong yang didakwa menjadi antara dalang utama penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran akan dilakukan bagi mengekang ketirisan barangan kawalan terbabit.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Negeri Kelantan Aswadi Jaafar berkata, pemeriksaan ketat di syarikat pembungkus minyak masak dijalankan untuk memastikan rantaian minyak masak paket itu diedar sebagai mana dijadualkan selain sampai kepada peruncit.

Menurutnya, KPDHNHEP tegas dalam memastikan tiada individu mengambil kesempatan terutama dalam kalangan pemegang lesen yang diiktiraf supaya rantaian pengedaran minyak masak dijalankan dengan telus sekali gus mengelak berlaku ‘kehilangan’ minyak masak bersubsidi di pasaran.

“Melihat kepada situasi semasa berkaitan penjualan minyak masak bersubsidi yang berleluasa di negara jiran, pihak kami dalam usaha memperhebatkan lagi kerjasama bersepadu dengan agensi penguatkuasaan lain di sempadan negara.



“Bekalan minyak masak ini dipercayai dibawa masuk ke negara jiran melalui pangkalan haram yang ada di sepanjang Sungai Golok selain dijual pada harga yang tinggi di sana.

“Jika ‘orang tengah’ yang dimaksudkan adalah daripada pemborong berlesen, pihak kami tidak akan berkompromi serta tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang melanggar undang-undang mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aswadi berkata, pemborong dan peniaga yang diberikan lesen untuk menjual minyak masak bersubsidi sepatutnya mematuhi peraturan yang ditetapkan agar tidak berlaku isu ketirisan sebegini.

Sebelum ini dilaporkan kegiatan menyeludup minyak masak ke Thailand sudah lama berlaku dipercayai sejak kerajaan memperkenalkan subsidi itu 15 tahun lalu.



Peruncit di negara itu mendakwa mereka mendapat bekalan dan menjual minyak paket satu kilogram (kg) dari Malaysia sejak berbelas tahun, malah tidak pernah berhadapan masalah kekurangan bekalan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker