Umpan minyak masak untuk dirampas sebelum seludup lebih banyak

RANTAU PANJANG: Simpan minyak masak di satu lokasi, sebelum diseludup ke Thailand menggunakan beberapa pangkalan haram.

Malah, penyeludup turut mengumpan sejumlah minyak masak dengan kuantiti kecil untuk dirampas pihak berkuasa, sebelum sejumlah kuantiti lebih besar diseludup ke negara jiran ketika pasukan keselamatan leka dengan rampasan terbabit.

Itu antara modus operandi terkini digunakan penyeludup minyak masak subsidi bagi memastikan barangan kawalan berkenaan berjaya diseludup ke negara jiran.

Penyeludup yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, berkata mereka tidak kisah mengalami kerugian menggunakan taktik ‘mengumpan’ itu kerana tetap memperoleh keuntungan besar setiap kali minyak masak subsidi berjaya diseludup.

“Sebagai contoh, 10 kotak minyak masak sengaja ditempatkan di satu lokasi yang agak senang ditemukan pihak berkuasa.

“Lebihan 50 kotak lagi sudah tersedia untuk diseludup apabila menerima isyarat selamat bagi meredah Sungai Golok.

“Kerja ini perlu dilakukan secara berkumpulan dengan kumpulan pertama terdiri dua hingga tiga orang bertindak menyediakan minyak masak di tempat tumpuan pihak berkuasa. Kumpulan kedua pula bersedia di tebing sungai dengan sejumlah minyak masak yang banyak untuk memulakan pemindahan sebaik isyarat laluan selamat diberikan,” katanya.

Mat berkata, kumpulan pertama akan memaklumkan kepada kumpulan kedua jika ‘umpan’ mereka itu sedang dirampas pihak berkuasa supaya kumpulan kedua dengan pantas memulakan kerja memindahkan minyak masak ke negara jiran pada masa yang sama.

“Senang cerita, kami semua perlu berlakon, tetapi ada masanya taktik ini tidak menjadi dan kami terpaksa berputih mata membiarkan minyak masak dirampas.

“Oleh itu, lokasi (pangkalan haram) yang tepat penting supaya kegiatan ini tidak dapat dikesan. Biasanya tempat yang dipilih untuk menyeludup kawasan yang sungainya tidak terlalu lebar atau luas supaya pemindahan dapat dijalankan dengan cepat.

“Kami menggunakan perahu yang didayung bukan menggunakan enjin bagi mengelak bunyi enjin dikesan pihak berkuasa.

“Kerja menyeludup ini dilakukan oleh kumpulan yang khas bukan dalam kalangan pemborong kerana mereka hanya menyerahkan kepada kami untuk memastikan minyak masak sampai ke negara jiran,” katanya.

Mat juga mengakui sebanyak 15 hingga 20 kotak minyak masak boleh dimuatkan dalam perahu dan mereka perlu melakukannya berulang kali dengan pantas tidak kira waktu siang atau malam.

Katanya, mereka mengenakan caj antara RM100 sehingga RM150 seorang untuk menyeludup minyak masak bersubsidi bergantung kepada kuantiti yang dibawa.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker