22 Bulan Dalam PH, 17 Bulan Bersama PN.

KOTA KINABALU – Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang dianggap sebagai hidup mati UMNO dan Barisan Nasional (BN) setelah melalui pelbagai cabaran selepas PRU lalu.

Namun begitu, bagi Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi menegaskan bahawa UMNO/BN menjadi harapan rakyat untuk kembali menunjangi kerajaan selepas kegagalan pentadbiran kerajaan 22 bulan dalam Pakatan Harapan (PH) dan 17 bulan dalam Perikatan Nasional (PN).

“Selepas kalah kita telah dilabel macam-macam jenis tohmahan. Memang pada awalnya kita risau… adakah rakyat masih menerima kita seperti dulu tapi hasil daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor saya nampak UMNO/BN masih diharapkan untuk menunjangi kerajaan di Sabah dan kerajaan Persekutuan Putrajaya,” katanya.

Jelas beliau, pasca-PRU ke-14 telah membuktikan kepada rakyat tentang siapa yang benar-benar boleh mentadbir atau mampu diharapkan untuk memberi jaminan kepada rakyat.

“Apabila bercerita tentang kerajaan, rakyat melihat kerajaan yang dipimpin oleh selama 22 bulan dan kerajaan 17 bulan maka rakyat sudah dapat menilai dengan jelas apa yang mereka dapat.

“Ini kerana apa yang dijanjikan tak ditunai dan yang lebih penting mereka tertipu dan hal-hal begini harus kita beritahu kepada rakyat dan orang muda, khususnya pengundi.

“Ada 39 bulan masa terbuang begitu saja, setelah diberikan peluang kerajaan bertukar dan mereka berpeluang untuk memerintah malangnya janji-janji mereka pun tidak tertunai malah kini sampai masanya untuk rakyat berfikir dan memberikan sokongan kembali kepada BN.”

BN Lantik Setiausaha Agung Baru

Tegas Jamal, rakyat yang tertipu perlu bersuara dan menunjukkan kepada semua malah terlibat bersama memberikan keyakinan kepada rakan-rakan mereka yang sebelum ini telah termakan dengan fitnah dan janji-janji kosong pembangkang sebelum PRU-14 lalu.

“Betapa kecewanya kita kerana fakta-fakta ekonomi selepas pentadbiran PH dan PN telah meletakkan Sabah terkebelakang sedangkan ketika kerajaan diterajui BN, Sabah adalah negeri yang termaju malah menunjukkan pembangunan serta peningkatan yang amat memberangsangkan,” katanya secara eksklusif dalam wawancara bersama UMNO Online.

Jelas Jamal, selepas PRN Sabah yang kemudiannya BN menang besar di PRN Melaka dan Johor maka rakyat melihat harapan baharu untuk mereka.

“Rakyat mula sedar terutamanya orang muda untuk memberikan sokongan kepada UMNO/BN.

“Rakyat mengharapkan hasil daripada kebangkitan UMNO/BN akan menghasilan impak yang baik terutama untuk memenuhi cita-cita merampas kembali Putrajaya demi masa hadapan negara.”

Namun begitu, beliau tidak mengambil mudah kerana gerak kerja bagi memastikan momentum pengundi terus bersama UMNO/BN harus berterusan.

“Dalam siri lawatan ke pelusuk Daerah Papar, saya sering bercakap bahawa kita melihat UMNO berubah dari segi kepimpinan, cara dan sistem bekerja serta kita lupakan hal-hal dulu, tak perlu asyik berjanji sebaliknya fokus kepada masa hadapan.

“Apabila tsunami politik yang menyaksikan ramai ketua-ketua bahagian melompat maka sebenarnya ia adalah masanya bagi orang baharu khususnya orang muda untuk menerima kita sebagai parti baharu, cara baharu, fokus baharu, cara bekerja yang baharu dan pelbagai lagi. Kita berjumpa dalam kelompok-kelompok yang kita lakukan.

“Rakyat mahukan perubahan, mahukan pembaharu dan juga percaya bahawa hanya UMNO dan BN sahaja yang mampu memerintah negara ini dengan baik, maka ayuhlah kita laksanakan,” katanya lagi.

UMNO Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker