Anggota bomba cedera ketika padam kebakaran
CHUKAI: Seorang anggota bomba cedera selepas terjatuh ketika melakukan operasi memadam kebakaran di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Telok Kalong Kemaman, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, Muhammad Ridzuan Kamaruzaman, 31, terjatuh pada ketinggian tiga meter dan keadaannya dilaporkan stabil.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Chukai, Mohd Zailani Abdullah, berkata
mangsa yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Chukai bersama 27 anggota lain sedang melakukan operasi pemadaman di kilang itu.
Katanya, ketika sedang melakukan kerja pemadaman, mangsa dikatakan terpijak struktur besi yang reput sebelum terjatuh.
“Mangsa kemudian dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman dengan bantuan ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.
Mohd Zailani berkata, kilang yang terbakar itu sudah tidak beroperasi dan dipercayai dalam proses pelupusan oleh pihak kontraktor.
“Kebakaran dipercayai berpunca daripada percikan api yang menyambar bahan mudah terbakar di sekitar kawasan itu. Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 8.05 malam,” katanya.
BHOnline