Bayi lelaki parah nahas 2 kereta di Tanjung Malim

TANJUNG MALIM: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan parah selepas kereta Proton Inspira dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 385.6 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, kelmarin.

Kemalangan kira-kira jam 7.30 malam itu menyebabkan bayi berkenaan patah tulang paha dan pinggul serta mengalami pendarahan dalam otak.

Pemandu Proton Inspira berusia 30 tahun pula luka di tangan, manakala penumpang wanita, juga berusia 30 tahun retak pergelangan kaki kiri, namun seorang lagi penumpang lelaki berusia 20 tahun tidak kecederaan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir, berkata siasatan awal polis mendapati kemalangan itu ketika Proton Inspira dipandu lelaki terbabit dalam perjalanan dari arah Ipoh ke Kuala Lumpur.

Tiba di tempat kejadian, katanya, sebuah kereta BMW dipercayai secara tiba-tiba keluar dari lorong tengah dan masuk ke laluan kanan di hadapan laluan kereta Proton Inspira terbabit.

“Pemandu Proton Inspira cuba mengelak tetapi hilang kawalan dan terlanggar sisi belakang kanan BMW terbabit sebelum terbabas dan melanggar pula pembahagi besi di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, bayi berkenaan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut, manakala individu lain yang cedera dibawa ke Hospital Slim River.

“Pemandu BMW berusia 30 tahun sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kira-kira jam 3.17 petang semalam. Dia juga sudah hadir ke IPD Muallim kira-kira 10 malam tadi untuk dirakam percakapan,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kenderaan terbabit sudah ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) serta ujian kimia dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil untuk membantu siasatan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker