‘Ketiadaan minyak masak paket membebankan’

Johor Bahru: Ketiadaan bekalan minyak masak paket di pasaran bandar raya ini menimbulkan keresahan pengguna sekali gus menyebabkan mereka terbeban.

Tinjauan di beberapa pasar raya serta kedai runcit di kawasan Skudai dan Tampoi mendapati bekalan minyak paket sudah kehabisan di semua lokasi ditinjau.

Bagaimanapun, minyak masak botol tulen dua dan lima kilogram (kg) masih banyak di pasaran bandar raya ini.

Pekerja swasta, Zaidi Ibrahim, 49, berkata, ramai pengguna termasuk dirinya terbeban berikutan ketiadaan bekalan minyak paket di pasaran bandar raya ini kerana terpaksa membeli minyak botol yang mahal.



Katanya, kali terakhir dia membeli minyak paket bersubsidi yang berharga RM2.50 sekilogram itu adalah ketika pengumuman subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram yang dimansuhkan sebelum 1 Julai lalu.

“Kebanyakan pengguna termasuk saya tidak lagi mampu membeli minyak masak botol lima kg yang kini berharga hampir RM40.

“Ketiadaan bekalan minyak masak paket memang amat membebankan pengguna. Apa yang lebih sedih apabila saya baca laporan berita minyak masak paket banyak dijual di Selatan Thailand dan pengguna di sana boleh membeli tanpa had sepanjang tahun.

“Itu hak rakyat Malaysia. Pihak berkuasa tolonglah tangani isu ini, bantu rakyat yang kesusahan. Kami terpaksa juga beli minyak botol dua kg berharga RM17 sebotol untuk kegunaan keluarga,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.



Dalam pada itu, Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam, berkata bekalan minyak masak paket belum pulih walaupun subsidi minyak masak botol sudah dimansuhkan.

“Sudah seminggu cawangan pasar raya kami kehabisan minyak masak paket. Jika bekalan sampai pun, tidak banyak, contohnya minggu lalu setiap cawangan hanya dapat 10 kotak minyak masak paket berisi 12 paket setiap kotak.

“Bekalan berkenaan habis tidak sampai dua hari dibeli pengguna. Ada pengguna turut marah dan menuduh kami menyimpan bekalan minyak masak paket, sedangkan kami akan terus keluarkan bekalan apabila ia dihantar pembekal,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Hairul Anuar Bohro, ketika dihubungi berkata, pihaknya kini sedang membuat pemeriksaan dan pemantauan mengenai dakwaan bekalan minyak masak paket yang kehabisan.

“Beri kami masa untuk semak perkara ini membabitkan pengilang serta pembekal sebelum kenyataan akan dikeluarkan nanti,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker