Risda salur bantuan kepada 140 pekebun kecil di Baling

Baling: Seramai 140 pekebun kecil di daerah ini akan menerima bantuan Rancangan Pemulihan Kebun (RPK) selepas 98 hektar kebun getah mereka terjejas akibat bencana banjir dan kepala air pada 4 Julai lalu.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, bantuan itu akan diberikan dengan kadar maksimum RM7,710 bagi setiap hektar.

“Bantuan ini merangkumi penanaman semula kebun getah yang musnah serta membangunkan kebun yang rosak akibat banjir.

“Kita juga akan membaik pulih jalan pertanian yang rosak supaya pekebun kecil ini dapat pergi menoreh getah semula selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Kampung Iboi, di sini, hari ini.



Mengulas lanjut, Mohd Salim berkata, kesemua pekebun kecil ini perlu dibantu segera memandangkan daerah Baling adalah antara pengeluar getah terbesar di Malaysia.

Katanya, jumlah pekebun kecil yang terjejas akibat banjir dan kepala air Isnin minggu lalu adalah sebanyak 10 peratus daripada 13,121 orang dengan keluasan penanaman getah seluas 13,988 hektar di Baling.

“Buat masa ini Risda masih lagi meneruskan operasi mengenal pasti jumlah keseluruhan kawasan kebun pekebun kecil yang terjejas untuk memastikan pekebun kecil terus dibantu.

“Kita juga membantu seramai enam orang usahawan bimbingan Risda terkesan dalam bencana ini iaitu usahawan bakeri dan madu kelulut mengalami kemusnahan keseluruhan premis dan peralatan manakala empat orang lagi mengalami kerosakan kecil,” katanya.



Dalam masa sama, Mohd Salim berkata, Risda menerusi Yayasan Risda turut menyampaikan bantuan wang ihsan sebanyak RM1,000 kepada penghuni 17 rumah yang musnah dan rosak teruk akibat bencana berkenaan.

“Kita juga menyampaikan sumbangan sebanyak 1,000 unit bantuan bekalan makanan bernilai RM100,000 kepada penduduk yang terjejas,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker