Rooney tekad lonjak DC United
Washington: Bekas bintang England dan Manchester United, Wayne Rooney dilantik ketua jurulatih baharu DC United dengan misi memulihkan semula reputasi kelab Major League Soccer (MLS) itu.
Ia pertemuan semula buat ikon British berusia 36 tahun yang beraksi dengan DC United pada Julai 2018 sehingga Oktober 2019, meledak 25 gol dalam 52 perlawanan sebelum kembali ke England sebagai pemain dan jurulatih di Derby County.
“Kembali ke MLS menyertai semula DC United adalah cabaran menggembirakan yang boleh meningkatkan lagi karier jurulatih saya tetapi pasukan juga perlu ada perubahan,” kata Rooney.
“Saya bercita-cita besar. Suatu hari saya mahu menjadi pengurus pada tahap tinggi. Ini sebahagian daripada proses itu.”
DC United yang menduduki tangga kedua terbawah liga memecat jurulatih, Hernan Losada selepas enam perlawanan dan menggantikannya dengan pengurus sementara Chad Ashton.
“Saya yakin dengan kemampuan memajukan pemain muda. Kami mampu melonjakkan semula kelab ini,” kata Rooney.
“Namun ia perlukan kerja keras dan itu sebabnya saya ada di sini.”
Rooney meletakkan jawatan sebagai jurulatih Derby County bulan lalu selepas kelab itu tersingkir ke League One sekali gus membuka peluangnya kembali ke MLS.
METRO