7 langkah bantu pelajar IPT seluruh negara

7 langkah bantu pelajar IPT seluruh negara
SEBELUM menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia, Dato’ Dr. Noraini Ahmad meluangkan masa makan tengah hari bersama pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia,baru-baru ini.

 

KUALA LUMPUR : Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil tujuh langkah bagi memantapkan tadbir urus dan kecekapan penyaluran bantuan kebajikan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

Menterinya, Dato’ Dr. Noraini Ahmad berkata, kesemua langkah itu diputuskan dalam Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Menurutnya, langkah-langkah itu diambil sejajar dengan dasar keprihatinan KPT terhadap kebajikan pelajar IPT awam dan swasta.

“Penubuhan Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia oleh Kementerian Pengajian Tinggi iniadalah atas dasar keprihatinan kementerian dalam menyokong dan memantapkan tadbir urus serta kecekapan penyaluran bantuan kebajikan kepada siswa di institusi pengajian tinggi,” katanya dalam
satu kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, jawatankuasa induk dipengerusikan sendiri oleh beliau, sementara jawatankuasa pelaksana di peringkat institusi dipengerusikan oleh naib canselor atau rektor atau pengarah.

Noraini berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat pertama yang diadakan
pada 12 Julai lalu di UKM.

“Mesyuarat ini turut dihadiri wakil pengurusan tertinggi KPT, naib-naib canselor, wakil universiti awam, pengerusi dan wakil persatuan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) serta presiden dan wakil Majlis Perunding Pelajar Kebangsaan (MPPK),” katanya lagi.

Berikut tujuh langkah yang telah diputuskan untuk dilaksanakan di IPT.

1 . Pengusaha kafeteria dan penyedia perkhidmatan makanan di kampus IPT awam diberikan pengecualian bayaran sewaan selama enam bulan (moratorium) agar tanggungan kos boleh diserap bagi menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar.

2. Pelajar menikmati satu hidangan pada harga siling RM3.50 menerusi Inisiatif Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia (Menu Keluarga Malaysia). Langkah ini adalah di bawah inisiatif Bakul Makanan Siswa dan menu yang ditawarkan mestilah bersesuaian serta mengambil kira kepelbagaian komposisi kaum di IPT.

Selain itu, bagi memantau kenaikan harga atau kos barangan dan perkhidmatan yang melibatkan sara hidup siswa di IPT , Pasukan Pemantau KPT Kos Sara Hidup Siswa (KPT Pantau) akan melaksanakan pemantauan secara berterusan .

3. Inisiatif Bakul Makanan Siswa akan diperkasakan menerusi penubuhan hab Bakul Makanan Siswa yang berperanan sebagai pusat pengumpulan dan pengagihan barang keperluan siswa. Sebanyak enam hab akan ditubuhkan mengikut zon iaitu zon utara, tengah, timur, selatan, Sabah dan Sarawak. Bagi zon tengah, UKM akan beroperasi sebagai hab perintis.

Upah Program JoC Akan Diselaraskan

4. Kadar upah program Job on Campus ( JoC ) di peringkat IPT akan diselaraskan. Kadar upah ini akan diteliti semula agar selaras dengan Perintah Gaji Minimum 2022 oleh kerajaan. Pihak IPT disaran meningkatkan jumlah penempatan JoC supaya lebih ramai pelajar terutama golongan berkeperluan dibantu dan memperoleh manfaat menerusi program tersebut.

5. Membangunkan Pelan Tindakan Sara Hidup Siswa. Menerusi langkah ini, sebuah pelan tindakan yang holistik, sinergi dan mapan akan dibangunkan sebagai panduan kepada IPT dalam usaha memperkasakan kebajikan pelajar. Selain daripada kos makanan, pelan itu turut mengambil kira konteks sara hidup pelajar yang lebih luas. Ini termasuklah aspek keperluan pengajaran dan pembelajaran seperti pelan data dan peranti, penginapan,pengangkutan dan yuran.

6. Pemberian rebat atau pengecualian cukai. KPT akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Kewangan bagi melihat kebolehlaksanaan pemberian rebat atau pengecualian cukai kepada para penyumbang yang menyalurkan tajaan dalam pelbagai bentuk . Antaranya termasuklah bantuan tunai , barangan atau perkhidmatan berkaitan keperluan siswa. Ini bagi menggalakkan kolaborasi bersama pihak korporat, industri dan orang perseorangan .

7. Memperkenalkan jadual pergerakan pengangkutan yang lebih kerap. Menerusi langkah ini, kekerapan pergerakan pengangkutan di dalam dan luar kampus oleh pihak IPT akan ditambah .

“Saya berharap semua inisiatif ini dapat memperkasakan kebajikan pelajar di IPT, selain mendapat sokongan serta kerjasama penuh daripada semua pihak termasuk warga kampus, pelajar dan agensi luar bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya ,”tambah Noraini.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker