Panggilan tak berjawab, rupanya Mak Su kemalangan

IPOH: “Kami melalui kawasan kemalangan, tetapi tidak sangka yang kemalangan itu adalah Mak Su,” kata Zuraiti Ismail, 43, anak saudara kepada mangsa Siti Petimah.

Menurutnya, kali terakhir dia berhubung dengan ibu saudaranya itu pada kira-kira 12 tengahari sebelum mahu bergerak pulang dari Pulau Pinang ke rumah mereka di Bangi.

“Selalunya kalau nak balik, Mak Su akan cakap berhati-hati bawa kereta, tetapi kali ini dia langsung tidak beri pesanan.

“Kami memberitahu selepas Zuhur kami sekeluarga bergerak, tetapi melepasi sedikit dari Bukit Gantang saya cuba menghubungi mereka semua tetapi semua telefon tidak diangkat,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, tengah malam tadi.

Zuraiti berkata, ibu saudara bersama suami dan dua anak perempuan mereka dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Kuala Lumpur.

“Mereka dalam perjalanan dari rumah mereka di Sungai Petani untuk menghantar salah seorang daripada anak perempuan mendaftar kerja di Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya, dalam perjalanan dia mendengar berita melalui radio memaklumkan ada kemalangan, namun tidak menyangka ibu saudara sendiri terbabit dalam kemalangan.

“Kami ada melalui jalan kemalangan berkenaan tetapi ketika itu keadaan jalan sudah lengang, tidak terdetik dan tak sangka Mak Su yang kemalangan.

“Kami mendapat berita agak lewat, dalam sekitar jam 5 petang kami mendapat berita daripada makcik di Melaka mengatakan Mak Su kemalangan dan semua sudah meninggal dunia,” katanya.

Katanya, kali terakhir mereka berjumpa di rumah ketika sambutan perayaan Aidiladha dan ibu saudara tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang semalam, empat maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (KM) 277.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan.

Empat mangsa iaitu seorang lelaki dan tiga wanita disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker