Penduduk trauma bimbang banjir, kepala air berulang

BALING: Hujan beterusan lebih 24 jam sejak kelmarin menyebabkan penduduk berdekatan sungai di Kampung Iboi semakin trauma bimbang bencana banjir dan kepala air kembali berulang.

Mangsa banjir, Che Liah Ramli, 63, berkata dia masih lagi teringat detik cemas dihanyutkan kepala air sehingga tersangkut dan berpaut pada pokok pisang pada ketinggian lebih satu meter sebelum diturunkan penduduk kampung.

“Saya tidak pernah tidur lena sejak hari kejadian, apabila malam saya sering jenguk air sungai menerusi tingkap rumah orang tua saya.

“Saya masih teringat bagaimana air menghanyutkan saya sehingga tersangkut dan berpaut pada pokok pisang lebih 20 minit sebelum diturunkan oleh penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di Kampung Masjid Iboi, di sini.



Dalam kejadian 4 Julai lalu, Che Liah atau lebih dikenali dengan panggilan Maksu pada mulanya menyelamatkan diri menaiki tangga rumahnya selepas paras air di dalam rumah naik hampir satu meter.

Maksu berkata dia kemudian diselamatkan oleh anak saudaranya sebelum membonceng motosikal namun dihanyutkan arus deras ketika dalam perjalanan ke tempat selamat.

“Sekarang saya dan suami menumpang tidur di rumah orang tua saya selepas sebahagian dinding rumah pusaka suami saya pecahdan perlu dibaik pulih,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang 4 Julai lalu, lebih 800 buah rumah penduduk terutama di Kampung Iboi serta sekitar Kupang terjejas, termasuk 16 kediaman lenyap dan 18 lagi rosak teruk terkena kayu balak hanyut yang dibawa kepala air dari arah gunung Inas.



Suami Che Liah, Abdullah Ahmad, 65, berkata dia bimbang kejadian kepala air berulang dan berlaku di waktu malam sekali gus boleh menyebabkan lebih banyak nyawa yang akan terkorban.

“Cukup lah apa yang kami hadapi, rumah pusaka orang tua saya lebih 100 tahun hampir musnah, sudah 10 hari berlalu, lumpur masih memenuhi setiap ruang di rumah saya, hanya bahagian atas rumah masih dalam keadaan baik.

“Kami hanya mengharapkan ihsan orang ramai dan agensi seperti bomba untuk membantu membersihkan kawasan rumah,” katanya yang lebih dikenali sebagai Paksu oleh penduduk kampung.

Sementara itu, seorang lagi mangsa Mohd Noh Abdul Rahman,63, berkata dia mula rasa berdebar apabila melihat keadaan di Gunung Inas mulai gelap.

Katanya, kejadian banjir dan kepala air minggu lalu menyebabkan dia tidak dapat tidur nyenyak.

“Sejak kelmarin hujan berterusan, hari ini (semalam) pula hujan renyai-renyai, sebelum kejadian minggu lalu, keadaan sama seperti ini.

“Sebagai penduduk berdekatan sungai, saya harap s projek ladang Musang King dihentikan dan ditanam kembali pokok balak, jika tidak kami di sini tidak pernah akan rasa selamat,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker