Balu Jamaludin Jarjis mohon pinda tuntutan saman harta sepencarian RM1 bilion

Guna dokumen palsu dapatkan tender, usahawan didenda RM24,000

Kuala Lumpur: Puan Sri Kalsom Ismail, balu bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis yang terkorban dalam nahas helikopter pada 2015 memfailkan permohonan bagi meminda tuntutan samannya terhadap empat anak dan ibu mentuanya berhubung harta sepencarian kira-kira RM1 bilion.

Peguam Syarie Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Kalsom selaku plaintif berkata pihaknya akan meminda pernyataan tuntutan saman membabitkan beberapa aset antaranya hartanah.

“Permohonan plaintif (Kalsom) bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk meminda tuntutan saman itu akan didengar 17 Mei ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sebutan kes di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Hadi Hamat.

Sementara itu, Peguam Syarie Nur Hidayah A Bakar yang mewakili ibu Allahyarham Jamaludin, Aminah Abdullah, 88, selaku defendan kelima berkata pihak plaintif telah memfailkan permohonan itu pada 25 Mac lalu.

Menurut Nur Hidayah, pindaan itu membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat yang akan dibuang dalam pernyataan tuntutan berkenaan.

“Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan arwah (Jamaludin) semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Selangor akan dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda itu,” katanya.

Kalsom, 66, memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat, Makkah serta beberapa buah syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla, dan ibu mentuanya Aminah sebagai defendan.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

METRO

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker