‘Di mana awak Zally?’

KUALA LUMPUR: Bekas personaliti televisyen (TV), Senator Datuk Ras Adiba Radzi, 54, berharap rakan seperjuangannya, Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November, tahun lalu segera pulang.

Menerusi tiga hantaran dikongsi dalam Instagram (IG), Ras Adiba turut tertanya-tanya di manakah gerangan sahabat seperjuangannya ketika berkhidmat di TV3 dahulu.

“Di mana awak Zally (Zalina)? Tolonglah pulang, pulang ke rumah,” tulisnya.



“Pulanglah…,” tulis Ras Adiba dalam hantaran lain, sambil berharap bekas personaliti TV3 yang begitu sinonim dengan program Money Matters itu dalam keadaan baik dan selamat.

Malah, isteri kepada Mohamed Azam Ali itu turut meminta orang ramai membantu mencari sahabatnya dengan memanjangkan hebahan mengenai pencarian dan situasi menimpa Zalina dalam IG.

Terdahulu, BH Online melaporkan luahan dan perkongsian teman seperjuangan Zalina termasuk Puan Sri Normala Samsudin, Datuk Aznil Nawawi, Zakiah Anas, Dangsuria Zainurdin dan Azura Abdul Karim.

Semalam, BH Online melaporkan, polis giat mencari Zalina atau nama sebenar, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu.



Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak lelaki Zalina, Mikhael Norman, 33, berhubung kehilangannya pada 29 November tahun lalu.

Zalina, 58, dilaporkan hilang ketika Mikhael cuba menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu dimasukkan ke hospital, namun, wanita itu tidak dapat dihubungi.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button