Ten Hag beri amaran kepada Maguire
LONDON: Erik ten Hag memberi amaran kepada Harry Maguire betapa keputusannya meletakkan pertahanan England itu sebagai kapten Manchester United tidak menjamin tempat pemain itu dalam kesebelasan utama di Old Trafford.
Ten Hag memberikan Maguire keyakinan tambahan dengan dia terus diberikan kepercayaan memakai lilitan kapten walaupun pemain berusia 29 tahun bergelut mencari prestasi terbaik musim lalu.
“Harry sangat bagus dan saya menjangkakan sesuatu yang lebih daripadanya,” kata Ten Hag. “Saya melihat isu kapten adalah satu daripadanya.
“Pembangunan pasukan bagi saya adalah penting dan saya sentiasa bercakap mengenai kumpulan pemimpin. Kapten adalah sangat penting dan saya gembira dengannya.”
Bagaimanapun Lisandro Martinez yang berhijrah ke United dari Ajax akan memberikan lebih tekanan buat Maguire, dengan Raphael Varane dan Victor Lindelof akan memberikan saingan tambahan di bahagian pertahanan tengah.
“Kami ada pertahanan tengah yang bagus dan Harry adalah seorang daripadanya,” kata Ten Hag. “Dia boleh bermain di kiri dan juga kanan kerana dia menggunakan kaki kanan.
“Tapi ada juga saingan dalaman dan itulah yang diperlukan kelab seperti United. Anda tidak boleh menang dengan 11 pemain. Kami perlukan skuad terutama musim ini yang ada banyak perlawanan.
“Saya rasa dia (pemain pilihan utama). Dia membuktikannya sebelum ini dan dia juga perlu membuktikannya ketika ini dan masa depan. Saya akan memberi sokongan kepadanya di mana-mana sahaja yang boleh.
“Pada akhirnya, dia sendiri perlu melakukannya dan dia ada kualiti untuk melakukannya.”
Pada ketinggian 1.75 sentimeter, Martinez kelihatan kecil bagi seorang pertahanan tengah, terutama ketika pertama kali bermain dalam dalam saingan bola sepak England.
AGENSI