Tiga beradik tercicir sekolah, ceria dapat kembali bersekolah

TUMPAT: Selepas enam bulan keciciran dalam persekolahan akibat kemiskinan, tiga beradik dari Kampung Berlian, di sini, kembali ke sekolah sejak dua minggu lalu.

Muhammad Adam Faysal Mohamad Mustaqim Hafis, 13, dan dua adiknya, Muhammad Afqar Fidaie, 10, serta Muhammad Ahnaf Fahim, 8, ceria dapat memulakan persekolahan dengan segala kelengkapan disediakan pihak sekolah yang simpati akan nasib mereka.

Ibu mereka, Rosmida Hanafi, 32, meluahkan rasa syukur dan terima kasih atas sumbangan pihak sekolah untuk tiga beradik itu.



“Anak sulung bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut manakala dua lagi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Laut. Pihak sekolah yang bersimpati dengan nasib kami menyediakan segala kelengkapan.

“Yuran persekolahan juga ditanggung pihak sekolah dan ketiga-tiga mereka turut mendapat wang saku sebanyak RM10 seminggu.

“Saya memang tidak mampu menyediakan kelengkapan persekolahan mereka lebih-lebih lagi saya dalam proses perceraian menyebabkan terpaksa mengabaikan pelajaran mereka,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ibu kepada enam anak yang berusia empat bulan hingga 13 tahun berkata, dia hanya mampu menyekolahkan dua anaknya yang berusia lima dan enam tahun di TADIKA memandangkan yuran bagi dua beradik itu hanya RM15 sebulan untuk seorang.



Katanya, dua anaknya yang bersekolah rendah mendapat bantuan dari Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan sedikit sebanyak meringankan bebannya untuk menyediakan wang saku.

“Asalkan anak dapat bersekolah kembali sudah memadai bagi saya kerana kerap juga mereka bertanyakan bila dapat ke sekolah semula seperti sebelum ini,” katanya.

Rosmida berkata, dia sudah menerima bantuan kewangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) baru-baru ini dan ia membolehkan dia membelanjakannya untuk keperluan mereka sekeluarga termasuk membeli sebuah motosikal untuk menghantar dan menjemput anak pulang dari sekolah.

Dia yang menumpang ibu kini dalam proses untuk bangkit semula dan berkira-kira untuk memulakan perniagaan menjual nasi tetapi masih kekurangan modal.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button