Bayern berjaya dapat de Ligt dari Juventus

BERLIN: Bayern Munich mengumumkan mereka menandatangani pertahanan Juventus, Matthijs de Ligt menerusi perjanjian lima tahun hari ini dengan pemain antarabangsa Belanda itu dijangka akan menjadi “tonggak utama” ketika juara Jerman itu melalui era selepas Robert Lewandowski.

“Matthijs de Ligt adalah sasaran utama buat kami. Dengan pembelian seperti ini, sasaran kami sudah tercapai. Bentuk masa depan pasukan semakin menampakkan rupanya,” kata Presiden Bayern, Herbert Heiner.

Juventus berkata pertahanan tengah Belanda itu menyebabkan Bayern perlu membayar 67 juta euro (RM305.07 juta) dengan 10 juta (RM45.53 juta) dalam bentuk bonus.

Ia membabitkan perpindahan kedua terbesar dalam sejarah Bayern selepas 80 juta (RM364.26 juta) dikeluarkan bagi mendapatkan seorang lagi pertahanan, Lucas Hernandez pada 2019.

Bayern akan menggunakan wang daripada perpindahan penyerang Poland, Lewandowski ke Barcelona yang dianggarkan melebihi 45 juta euro (RM204.90 juta) bagi membantu pembelian itu.

“Perpindahan ini adalah blok pembinaan penting untuk konsep keseluruhan yang kami sudah lakukan. De Ligt sepatutnya menjadi tonggak utama di FC Bayern” kata Hainer.

Kehadirannya menyusuli kedatangan Sadio Mane dari Liverpool serta pasangan Ajax, Ryan Gravenberch dan Noussair Mazraoui dengan kos keseluruhan dilaporkan media Jerman sebanyak 120 juta (RM546.39 juta) ketika Bayern berbelanja besar bagi pelaburan masa depan mereka.

De Ligt menyertai akademi Ajax pada usia sembilan tahun dan membuat penampilan pertama bersama juara Belanda itu pada usia 17 tahun. AFP

Leave a Reply