Jasa Kok Chi kepada sukan negara amat besar

Kuala Lumpur: Berita pemergian bekas Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi amat dirasai seluruh penggiat sukan di negara ini.

Siapa yang mengenali mendiang pasti akan terasa satu kehilangan besar dalam sukan negara kerana jasa bakti disumbangkan beliau yang menghabiskan seluruh hidupnya demi kemajuan sukan negara ini.

Pemergian beliau turut dirasai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang sebelum ini pernah menjalinkan kerjasama erat dalam kemajuan sukan negara.



“Berita pemergian Datuk Sieh Kok Chi adalah sesuatu yang amat menyedihkan kerana jasa dan sumbangan mendiang amat besar kepada arena sukan negara.

“Mendiang yang meninggalkan kita pada usia 83 tahun mencurahkan bakti kepada sukan negara sebagai atlet, pentadbir dan pemimpin sukan untuk tempoh hampir enam dekad.

“Mendiang adalah lambang kepada pelbagai aspek positif dalam sukan daripada semangat kesukarelawan jitu yang dipamerkannya, kegigihan membantu persatuan sukan kebangsaan memperkukuh sistem tadbir urus efektif serta inisiatif mencetuskan pelbagai bentuk pengiktirafan kepada warga sukan negara.

“Saya bertuah kerana pernah sama-sama berkhidmat dalam sukan negara bersama mendiang, terutama jalinan kerjasama di antara MSN dan MOM.



“Kali terakhir saya berjumpa dengan mendiang semasa kami bersama-sama meraikan beliau dengan Datuk Wira Mazlan Ahmad dan rakan dari Persatuan Kriket Melayu Malaysia selepas Aidilfitri tahun ini.

“Mendiang seperti biasa akan sentiasa memberikan pandangan dan nasihatnya kepada saya walaupun keadaannya tidak begitu sihat seperti sebelum ini.

“Pemergian mendiang meninggalkan ruang besar dalam arena sukan negara yang akan sukar diisi oleh generasi pentadbir sukan ketika ini.

“Ia adalah satu kehilangan besar dan saya mewakili seluruh warga MSN menghulur ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang,” kata Shapawi.



Kok Chi menawarkan perkhidmatan secara sukarela kepada MOM sejak 1974 apabila beliau pernah berkhidmat dalam pelbagai jawatankuasa dan pasukan petugas badan induk itu sebelum dipilih sebagai Setiausaha Kehormat pada 1992.

Mendiang menumpukan kerjayanya kepada MOM tanpa apa-apa imbuhan sepanjang berkhidmat sebagai Setiausaha Kehormat (1992-2013) dan Setiausaha Agung (2013-2015) serta Penolong Setiausaha Agung (2015-2018) MOM.

Mendiang dilaporkan meninggal dunia pada 16 Julai lalu dan akan disemadikan di Nirvana Crematorium Shah Alam, Jumaat ini.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button