Perjalanan terakhir ke sekolah

PADANG TERAP: Seorang guru lelaki yang sedang dalam perjalanan ke sekolah, maut apabila kereta dipandunya bertembung kenderaan lain di Kilometer (KM) 31 Jalan Kuala Nerang-Kampung Sungai Kap, di sini, semalam.

Mangsa berusia 35 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar, berkata nahas kira-kira jam 8 pagi itu membabitkan kereta Perodua Bezza dipandu mangsa dengan sebuah kereta jenis Nissan Almera yang dinaiki seorang pemandu lelaki bersama penumpang wanita.



Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika guru berkenaan dalam perjalanan dari rumahnya di sekitar kawasan itu ke tempat kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Nami.

“Sebaik saja tiba di lokasi kejadian yang merupakan jalan lurus dua hala, dipercayai kereta Nissan Almera dipandu lelaki berusia 25 tahun dari arah hadapan memasuki laluan Perodua Bezza berkenaan.

“Akibatnya, berlaku pertembungan di bahagian depan kedua-dua kenderaan terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mulkiaman memaklumkan, pihaknya kemudian menerima panggilan daripada HSB pada jam 11.35 pagi yang mengesahkan pemandu Perodua Bezza sudah meninggal dunia.



Katanya, pemandu kereta Nissan Almera pula dilaporkan mengalami pendarahan dalam perut dan sedang dirawat di HSB, manakala penumpang wanita berusia 19 tahun pula menerima rawatan di Hospital Kuala Nerang (HKN) akibat kecederaan di kaki.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata terdahulu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang dikerahkan ke lokasi susulan laporan nahas berkenaan.

Beliau berkata, pasukan kemudian membantu mengeluarkan mangsa yang didapati tersepit di tempat duduk pemandu Perodua Bezza.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button