2 tan sampah dikutip di rumah suami isteri degil

Manjung: Sudah dua kali rumah dibersihkan dan turut diberikan notis kerana ‘mengumpul’ sampah, namun pemilik kediaman di Taman Bintang, Pantai Remis, di sini, masih mengulang perbuatan sama sehingga mengganggu penduduk setempat.

Susulan itu, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) melakukan kerja pembersihan dan mengeluarkan timbunan sampah di kawasan rumah itu buat kali ketiga sehingga mengumpulkan dua tan sampah bermula jam 8.30 pagi hingga 11 pagi semalam.

Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, kerja pembersihan dilakukan di kawasan hadapan, tepi dan lorong belakang rumah itu.

Menurutnya, MPM sudah beberapa kali menerima aduan daripada penduduk setempat berhubung masalah itu dan mengeluarkan notis kacau ganggu serta notis ingkar arahan kepada pemilik tetapi tidak dipedulikan.

“Kami menerima enam aduan sejak September tahun lalu dan pembersihan kali ini yang ketiga selepas Januari dan Mei lalu. Kita mengumpulkan dua tan sampah seperti surat khabar, sampah pukal, besi buruk dan tin aluminium.

“Tindakan itu berdasarkan Seksyen 46(1)(D), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana meletakkan barang kitar semula di lorong tepi dan hadapan premis menyebabkan halangan dan kacau ganggu bau di tempat awam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Syamsul Hazeman berkata, pembersihan di rumah yang dihuni suami isteri dan dua anak itu berjalan lancar tanpa sebarang provokasi.

“Operasi dilakukan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar bersama Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MPM menggunakan jentera seperti lori kompektor, jengkaut dan lori roro.

“Kita berharap perkara sama tidak berulang lagi dan kerjasama semua pihak diperlukan kerana tindakan seperti ini boleh menyebabkan kacau ganggu serta tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker