Aktiviti perpindahan Barcelona ‘gila’

BERLIN: Jurulatih Bayern Munich, Julian Nagelsmann berkata ia sesuatu yang “gila” bahawa Barcelona berjaya mendapatkan beberapa pemain dalam fasa perpindahan termasuk Robert Lewandowski dari juara Bundesliga itu.

Barcelona menghadapi masalah kewangan sejak beberapa musim lalu tetapi berjaya mendapatkan tandatangan pemenang dua kali Pemain Terbaik Tahunan FIFA, Lewandowski dengan harga 45 juta euro (RM203.93 juta).

Gergasi dari Catalan itu juga menandaatangani pemain sayap Brazil, Raphinha dari Leeds yang dilaporkan bernilai 55 juta euro (RM249.25 juta) serta membawa kembali pertahanan tengah, Andreas Christensen dan bekas pemain tengah AC Milan, Franck Kessie ke Camp Nou menerusi perpindahan percuma.

“Mereka membeli ramai pemain, saya tidak tahu bagaimana,” kata Nagelsmann pada sidang akhbar di Washington ketika jelajah pramusim pasukannya di Amerika Syarikat.



“Mereka satu-satunya kelab di dunia yang tiada wang tetapi boleh membeli mana-mana pemain – bagi saya ia gila.

“Mereka mencari penyelesaian. Saya tidak tahu bagaimana, tapi benar, mereka ada skuad yang bagus berbanding musim lalu.”

Bagaimanapun Presiden Bayern, Oliver Kahn berkata adalah mustahil untuk membandingkan masalah kewangan kelab lain.

“Saya rasa Barca banyak mengumpul hutang. Tetapi hanya mereka yang berada di kelab itu tahu,” katanya.



“Jadi kami perlu mengelak untuk berkata sesuatu mengenai subjek itu. Mereka perlu tahu apa yang mereka lakukan.”

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker