Iklan keahlian Persatuan Bekas Polis Malaysia palsu

Kuala Lumpur: Polis mengesan iklan tawaran palsu keahlian dan penggunaan lambang Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) yang menawarkan pelbagai keistimewaan jika menjadi ahlinya.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (SUPM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, tawaran palsu itu dikesan menerusi hantaran di media sosial yang mempromosikan jualan lambang berkenaan dengan menawarkan keistimewaan tertentu.

Menurutnya, antara keistimewaan yang ditawarkan adalah perkhidmatan pengiring polis dengan bayaran RM300 bagi 10 kilometer, malah pemilik kenderaan boleh memasang cermin gelap.

“Iklan itu turut mendakwa tiada tindakan akan dikenakan pihak berkuasa sekiranya memandu dalam keadaan mabuk dengan menggunakan simbol prestij itu.

“Susulan itu, siasatan dijalankan ke atas individu yang bertanggungjawab dalam menyebarkan iklan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengingatkan orang ramai bahawa polis tidak pernah memberi sebarang kelebihan seperti yang ditawarkan menerusi promosi di media sosial itu.

“Orang ramai yang menerima iklan promosi itu diminta untuk tidak terpengaruh atau menghubungi penama dinyatakan.

“Masyarakat juga diminta merujuk kepada saluran media rasmi polis bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker