Kursi Pengajian Melayu di Itali bakal jadi kenyataan

Kursi Pengajian Melayu di Itali bakal jadi kenyataan

 

KUALA LUMPUR – Hasrat negara menubuhkan Kursi Pengajian Melayu di bumi Itali bakal menjadi kenyataan apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memulakan perbincangan awal dengan pihak pengurusan tertinggi Universiti Torino (UT) di kampus universiti itu, baru-baru ini.

Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar yang mengadakan kunjungan rasmi ke universiti itu baru-baru ini, berkata, pelbagai isu telah dibincangkan dalam usaha untuk merealisasikan cadangan penubuhan Kursi Pengajian Melayu di UT yang terletak di Turin, Itali.

“Kedua-dua pihak telah berkongsi buah fikiran untuk mengadakan kerjasama dalam bidang penyelidikan, pertukaran tenaga pengajar, program mobiliti dan program cuti musim sejuk serta musim panas.

“Setakat ini, kesemua cadangan disambut baik. Mereka merasakan bahawa hubungan strategik dalam pengajian tinggi ini merupakan kaedah terbaik dalam mengeratkan hubungan bilateral antara kedua negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Abdul Razak mengetuai delegasi berkunjung ke UT yang terletak di Turin bagi membuat perbincangan awal mengenai hasrat menjadikan Pengajian Melayu sebagai salah satu pilihan di institut pengajian tinggi luar negara.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dato’ Dr. Mohd Amin Taff dan Duta Besar Malaysia ke Itali, Dato’ Melvin Malik Castellino.

KURSI PENGAJIAN BAHASA MELAYU PERLU DIHIDUPKAN KEMBALI

Dalam perkembangan sama, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Prof. Dato’ Seri Dr. Awang Sariyan berkata, Kursi Pengajian Bahasa Melayu di pusat pengajian luar negara pernah diwujudkan sebelum ini dan ia perlu dihidupkan kembali demi memartabatkan kedudukan bahasa kebangsaan di mata dunia.

“Antara perkara yang dilihat berada dalam keadaan kritikal adalah kursi di 15 buah universiti di China yang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Melayu. Program itu perlu diselaraskan dengan lebih baik dan teratur.

“Eropah dan Australia juga banyak menawarkan program Bahasa Melayu dan ia perlu disemarakkan lagi, khususnya dalam kalangan negara anggota ASEAN,” katanya ketika menjadi panel program Minda Profesor Negara Siri ke-8 baru-baru ini.

Tambahnya, usaha berkenaan boleh dicapai secara strategik dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN menerusi kerjasama institut pengajian tinggi (IPT).

Awang juga mengesahkan pihaknya telah manjalankan kajian dan sudah mengenal pasti hampir 20 buah universiti termasuk Universiti Thaksin di Songkhla, Thailand yang mempunyai Jabatan Bahasa Melayu sendiri.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker