Pemancing maut diserang buaya

KUCHING: Pemuda yang dilaporkan hilang ketika memancing di Kampung Seberang Meludam, Saratok, kelmarin ditemui awal pagi tadi dengan keadaan mayatnya tidak sempurna dipercayai dibaham buaya.

Mayat mangsa, Abang Mohd Norazat Abang Salim, 27, ditemukan terapung oleh bapanya sendiri bersama tiga lagi penduduk kira-kira jam 2 pagi berdekatan loji air Meludam di kawasan hulu sungai yang jaraknya 2.1 kilometer daripada Pusat Kawalan Bomba (PKB).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pemeriksaan menemui kesan gigitan buaya di muka mangsa.



“Mayat mangsa juga dalam keadaan tidak sempurna apabila kedua-dua kaki serta tangannya hilang.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Difahamkan mangsa memasang pancing di tebing sungai kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Bagaimanapun, mangsa tidak kembali ke rumah hingga malam dan keluarganya membuat laporan polis berhubung kehilangannya.



Polis kemudian memaklumkan kejadian itu kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok pada jam 7.25 pagi, semalam.

Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan dengan pencarian ditumpukan sepanjang Sungai Meludam.

Pasukan SAR hanya menemui kasut serta peralatan memancing serta kasut milik mangsa di tepi sungai dan seekor buaya bersaiz besar turut dilihat berdekatan lokasi itu.

Berikutan itu, Sarawak Forestry Corporation (SFC) turut dimaklumkan berhubung penemuan buaya itu kerana dikhuatiri mengancam keselamatan pasukan SAR.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button