Pengurusan subsidi mampan tumpuan Bajet 2023

KUALA LUMPUR: Pengurusan subsidi yang lebih mampan, usaha pembaharuan ekonomi selain memperkukuhkan daya tahan negara terhadap sebarang kejutan pada masa depan menjadi tumpuan melalui pembentangan Bajet 2023.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata inisiaitf berkaitan kemampanan turut diambil kira dalam Bajet 2023 susulan cabaran ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim serius.

“Seiring dengan momentum pemulihan ekonomi pasca COVID-19, Bajet 2023 akan terus menumpukan kepada agenda kesejahteraan rakyat terutamanya dalam aspek pendapatan dan perlindungan sosial.

“Usaha pembaharuan ekonomi juga akan diutamakan bagi memastikan pertumbuhan yang mampan serta meningkatkan daya saing perniagaan dan rantaian nilai,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim-Bandar Bharu,) yang meminta kerajaan menyatakan dasar, strategi dan pendekatan dalam Bajet 2023.

Tengku Zafrul berkata, pembangunan mekanisme subsidi bersasar sedang dalam peringkat awal pengujian dan akan diperluas kepada beberapa kaedah lain membabitkan kawasan bandar dan luar bandar.

Katanya, pembangunan dan pengujian sistem subsidi bersasar dijangka memerlukan tempoh di antara tiga hingga enam bulan sebelum betul-betul bersedia untuk dilaksanakan di seluruh negara.

“Dalam pelaksanaan subsidi bersasar, kerajaan akan merancang pelaksanaan secara berfasa bagi memastikan ianya tidak mengakibatkan inflasi secara mendadak atau menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi,” tegasnya.

BHOnline

Leave a Reply