Saksi sahkan usia Bella 15 tahun pada 2020

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, diberitahu usia remaja sindrom down dikenali sebagai Bella ialah 15 tahun ketika menjalani ujian imbasan sinar X bone age (anggaran usia tulang) pada 2020.

Saksi pendakwaan ke-13 kes berkenaan yang juga Pegawai Perubatan Jabatan Radiologi Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu, Sabah, Dr B Anulaawathi, 39, mengesahkan laporan X bone age remaja itu dikeluarkan beliau pada 3 Ogos 2020 ketika bertugas di Hospital Tunku Azizah selepas menerima permohonan dari Jabatan Pediatrik, hospital itu pada 27 Julai tahun sama.

Katanya, anggaran usia sebenar remaja itu diketahui selepas analisis dibuat melalui tiga aspek iaitu chronological age; brush foundation data dan buku rujukan, Radiographic Atlas of Skeletal Development of the Hand and Wrist yang dikarang oleh Sarah Idell Pyle dan William Walter Greulich.

“Buku ini standard (prosedur operasi standard – SOP) digunakan untuk menganalisis bone age hospital seluruh Malaysia dan banyak digunakan di Hospital Tuanku Azizah.

“Buku itu mengandungi siri sinar X sebagai rujukan untuk jantina dan umur sejak lahir sehingga 18 tahun. Apabila dibandingkan dengan gambar rujukan sinar X bagi umur 13 tahun, kita mendapati masih tidak sama dengan imbasan sinar X tulang Bella.

“Kita boleh tengok lagi, Bella lebih tua daripada gambar rujukan umur 13.6 tahun. Kita terus melihat pada gambar rujukan untuk umur 15 tahun dan mendapati gambar itu sama dengan sinar X Bella iaitu plat pertumbuhan tulang di pergelangan tangan masih kelihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pemeriksaan utama dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azizah Mohamad.

Ditanya pihak pendakwaan ketika sesi pemeriksaan balas, sepanjang melaksanakan prosedur analisis bone age adakah dia bersemuka dengan pihak berkaitan termasuk pasukan pediatrik dan Bella sendiri, Dr Anulaawathi berkata, dia tidak menemui sesiapa.

“Tiada keperluan (berjumpa mereka) kerana semua arahan sudah ditulis dalam permohonan melalui sistem,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Anulaawathi menjawab benar ketika ditanya peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun Ahd Razali bahawa peranan saksi itu hanya menyediakan laporan selepas mendapat arahan dari pasukan pediatrik.

Siti Bainun, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi ditangguhkan petang ini.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker