Pelukan ‘Semangat’ bapa saudara

Kajang: Seorang bapa saudara memeluk dan menahan badan anak saudaranya yang hampir tumbang pada Majlis Perbarisan dan Kawalan Kehormatan Sempena Sambutan Jubli Emas ke-50 dan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Maktab Penjara Malaysia, di sini, hari ini.

Bapa saudara kepada pemuda itu pada mulanya dilihat berlari hingga terlucut selipar untuk membantu anak saudaranya yang terhoyong-hayang ketika perbarisan.

Pemuda itu pada mulanya mampu berdiri tegak selepas dipeluk bapa saudaranya namun pengsan tidak lama selepas itu.



Bagaimanapun dia tidak mengalami sebarang kecederaan dan mendapat rawatan segera.

Situasi menyentuh perasaan itu turut mendapat perhatian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang berkongsi kejadian di Facebook (FB) beliau.

“Yang hadir di padang kawad sempena Hari Penguat Kuasa KPDNHEP di Maktab Penjara Kajang, pagi tadi menjadi saksi, betapa kasih agung seorang ayah kepada anaknya.



“Yang bermain di fikiran ketika terlihat perkara itu, sama ada ayah ingin mengusung anaknya keluar barisan. Ternyata sangkaan sedemikian meleset.

“Meskipun badan ayahnya dimamah usia, anaknya dipapah, bingkas dibantu berdiri sambil badan menjengah lebih separuh abad itu menjadi benteng daripada anaknya kembali rebah.

“Melihatkan pengorbanan tidak terperi seorang ayah, berjurai air mata hadirin membasahi pipi masing-masing. Saya tidak terkecuali,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan penguat kuasa KPDNHEP yang tular itu adalah anak angkatnya yang kini bertugas di Tawau, Sabah, dikenali Nik Mohd Adhar.



Katanya, beliau menghubungi Nik Mohd Adhar untuk bertanya khabar dan dimaklumkan bahawa pemuda itu demam ketika perbarisan pagi tadi.

 

 

 



“Beliau merupakan anak yatim piatu sejak sekolah lagi. Itu sebab kami ambil beliau sebagai salah seorang anak angkat kami sejak beliau di Sekolah Geting Tumpat lagi.

“Dalam gambar yang meluru kepada beliau dan memapahnya untuk bangkit kembali seraya beliau jatuh pitam seketika ketika berkawat ialah bapa saudaranya, Abdul Aziz Ya’acob yang memeliharanya sejak kematian kedua ibu bapa,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button