‘Sengsara, derita seorang anak angkat’
KUALA LUMPUR: Dipukul menggunakan penyangkut baju, kayu penyapu selain dicucuh pemetik api.
Itu tindakan kejam pasangan suami isteri yang mencederakan anak angkatnya yang berusia empat tahun hanya kerana enggan makan nasi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit dari seorang lelaki pada jam 12.40 tengah malam tadi.
“Kejadian dipercayai berlaku pada 18 Julai lalu di sebuah rumah di Taman Perumahan di Beranang. Mangsa adalah anak angkat kepada pasangan suami isteri dicederakan atau didera oleh pasangan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kejadian disebabkan mangsa tidak suka makan nasi dan suspek memaksa mangsa untuk menelan nasi sehingga termuntah serta kanak-kanak ini dikatakan hyper-aktif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Zaid berkata, mangsa adalah kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dan anak kepada warga Indonesia.
“Kelahiran mangsa tidak pernah didaftarkan dan tiada apa-apa dokumen pengenalan diri. Mangsa kemudian diserahkan kepada suspek untuk dijaga sejak April lalu kerana ibu kandungnya tidak mampu menjaganya.
“Mangsa dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan, doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan,” katanya.
Menurutnya, susulan laporan polis yang dibuat, pihaknya kemudian menahan pasangan suami isteri berusia 28 dan 30-an hari ini.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak kanak 2001.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor K Suresh ditalian 017-433 3795,”katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 27 saat memaparkan seorang wanita memukul kanak-kanak menggunakan kayu penyapu.
Kanak-kanak terbabit juga didapati mengalami lebam di bahagian badan.
BHOnline