Kedegil Pusat Komersial Anggun bawa padah



Rawang: Kedegilan peniaga di Pusat Komersial Anggun, di sini yang menjadikan restorannya sebagai pusat hiburan bawa padah apabila diserbu pihak berkuasa, malam tadi.

Difahamkan, premis itu yang beroperasi sejak penghujung tahun lalu pernah dikenakan kompaun kerana menjalankan aktiviti hiburan yang tidak dibenarkan.

Susulan itu, Operasi Pusat Hiburan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) malam tadi, menyita premis itu kerana ingkar peraturan dan turut mengenakan tindakan sama terhadap empat lagi premis atas pelbagai kesalahan.

Ketua Bahagian Operasi MPS, C Paramasivam berkata, serbuan dengan kekuatan 60 pegawai dan anggota itu dijalankan susulan risikan yang dilakukan sejak dua minggu lalu.



“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah premis dikesan beroperasi tanpa lesen selain menjalankan aktiviti hiburan tidak dibenarkan dan menjual minuman keras tanpa permit sah.

“Semakan mendapati, premis ini pernah dikenakan notis dan kompaun dalam satu operasi bersepadu beberapa bulan lalu. Jadi kali ini kita (MPS) mengambil tindakan tegas menyita terus premis ini disebabkan kelalaian dan sikap ambil mudah pengusaha untuk memohon lesen.

“Kita turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM25,000 kepada pengusaha premis di bawah Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Selangor 2001 kerana beroperasi tanpa lesen,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi operasi.

Dalam pada itu, beliau berkata, empat lagi premis juga dikenakan tindakan sita selepas didapati melanggar syarat lesen dengan menjual minuman keras tanpa permit.



Paramasivam berkata, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan hiburan serta lebih 400 botol minuman keras.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Selangor 2001, Seksyen 3(1) Undang-undang Kecil Perlesenan Establisymen Makanan (MPS) 2007, Seksyen 43 Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MPS) 2007 serta Seksyen 70(11) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Kita tidak menghalang aktiviti hiburan untuk dijalankan tetapi ia perlu mengikut peraturan yang sudah ditetapkan dan membuat permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

METRO





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker