Kelantan FC risau hilang tonggak utama

KOTA BHARU: Kelantan FC bakal berdepan kehilangan beberapa tonggak utama selepas saingan menentang pasukan Johor Darul Ta’zim FC II (JDT II) pada aksi liga perdana, semalam.

Pasukan kendalian Rezal Zambery Yahya itu berkemungkinan kehilangan penyerang, Norshamil Abd Ghani dan import, Kervens Belfort akibat kecederaan.

Belfort mengalami kecederaan serius sehingga terpaksa dikejarkan ke pusat perubatan terdekat manakala Norshamil digantikan pemain pertahanan, Mohd Arip Amiruddin pada minit ke 45.



Rezal berkata, dia akan melihat tahap kecederaan dialami pemainnya sama ada boleh diturunkan atau tidak sebagai kesebelasan utama menentang Kuching FC, 31 Julai ini.

“Saya kenal pemain saya, kalau tidak mengalami kecederaan yang serius, mereka tak akan meninggalkan padang.

“Apa yang saya tahu, buku lali dia (Norshamil) mengalami kecederaan menyebabkan dia tak boleh teruskan permainan, kita akan jumpa doktor untuk pastikan tahap kecederaan dia,” katanya dalam sidang media.

Rezal berkata, kehilangan mereka (Belfort dan Norshamil) adalah posisi yang kritikal buat Kelantan menyebabkan pasukan itu tidak banyak pilihan di bahagian serangan.



Tambahnya, skuad kijang merah juga mungkin tidak dapat menggunakan khidmat penyerang import, Nixon Guylherme Brizolara yang masih dibelenggu kecederaan.

“Nixon semakin sembuh, cuma kita nak masukkan dia, kita kena tengok dulu tahap kecederaan dia, Nixon agak lama mengalami kecederaan, kita pun tak boleh nak paksa dia sangat takut kecederaan itu kembali semula.

“Yang penting sekarang ini saya bagi pemain-pemain saya rehat sebelum kita kembali berlatih bagi menghadapi Kuching FC yang juga perlawanan penting,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button