Penyelewengan diesel subsidi, Kerja orang dalam

Putrajaya: Tidak hanya ‘mengutip’ diesel subsidi dari stesen minyak, malah sindiket penyelewengan diesel subsidi turut dikesan memperoleh bekalan diesel subsidi dari jeti-jeti nelayan di Selangor.

Sumber berkata, risikan mendapati wujud ketirisan apabila diesel bersubsidi untuk sektor perikanan turut dijual kepada sindiket tertentu sebelum ia dipasarkan untuk kegunaan industri pada harga lebih tinggi.

Menurutnya, sindiket yang sebelum ini dikesan gemar membeli dan mengumpulkan diesel dari stesen minyak sekitar Negeri Sembilan akan menghantar diesel itu ke stor rahsia di Subang Jaya, Selangor.

“Ini termasuklah diesel subsidi yang diperoleh dari jeti-jeti nelayan yang dipercayai membabitkan ‘kerja orang dalam’.

“Risikan masih dilakukan bagi mengesan dalang sebenar termasuk pihak nelayan yang bersekongkol dengan kegiatan penyelewengan diesel subsidi.

Difahamkan nelayan diberi bantuan subsidi diesel dan petrol dengan harga RM1.65 bagi menampung sebahagian kos pengoperasian penangkapan ikan.

Dianggarkan tiga juta liter kuota bagi subsidi minyak diesel sebulan dan 1.5 juta liter kuota bagi subsidi petrol sebulan diberikan kerajaan kepada golongan ini.

Terbaru Selasa lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menahan lapan lelaki tempatan termasuk seorang warga Bangladesh yang disyaki terbabit dalam penyelewengan diesel bersubsidi bernilai lebih RM200,000.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, pihaknya bekerjasama dengan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) Pasukan Gerak Khas (PGK) Bukit Aman bagi melakukan serbuan ke atas sebuah premis di Kampung Baru Subang, Selangor jam 11 malam.

Beliau berkata, hasil serbuan itu, minyak diesel berjumlah lebih 100,000 liter dengan nilai melebihi RM200,000 disita manakala empat lori tangki, dua kereta dan beberapa barangan lain dirampas menjadikan nilai keseluruhan RM1.7 juta.

“Siasatan awal mendapati premis dan pelaku yang ditemukan di lokasi kejadian tidak mempunyai sebarang lesen, permit atau surat kebenaran daripada pengawal bekalan bagi berurusan dengan barang kawalan berjadual,” menurutnya.

Azman berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata, KPDNHEP Selangor akan terus komited membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan dan subsidi melalui kerjasama strategik agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan keberadaan bekalan barangan tersebut di pasaran dapat dinikmati pengguna di Selangor.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker