Polis kenal pasti identiti mayat lelaki bogel

Petaling Jaya: Polis sudah mengenal pasti identiti mayat lelaki yang ditemui mati dalam keadaan bogel dipercayai akibat terjatuh dari tingkat 17 kondominium di Kelana Jaya, di sini, 12 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Fakhrudin berkata, pihak polis meminta bantuan daripada pihak kedutaan berkaitan untuk mengenal pasti identiti sebenar mangsa yang berusia lingkungan 40-an.

“Polis buat masa ini dalam proses mendapatkan pengesahan asid deoxyribonucleic (DNA).

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan dalam proses untuk mengenal pasti sama ada dia ini mati dibunuh atau pun ada unsur-unsur lain menyebabkan kematian,” katanya selepas Program Kerjasama Strategik Antirasuah di Taman Jaya, di sini, hari ini.

Fakhrudin berkata, dua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an yang ditahan masih direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh.

“Kami dalam proses melengkapkan siasatan dan sejurus selesai akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pihak polis mengesahkan mangsa dan kedua-dua suspek berkenalan menerusi aplikasi media sosial.

Mangsa dipercayai sudah beberapa kali datang bertemu kedua-dua suspek di lokasi kejadian yang juga rumah suspek.

Mangsa dipercayai meninggal dunia sehari sebelum mayatnya dijumpai oleh pengawal keselamatan kondominium berkenaan dalam keadaan bogel.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker