Enam lokasi judi di tiga daerah diserbu

ALOR SETAR: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah melakukan enam serbuan serta tangkapan menerusi Op Dadu di tiga daerah membabitkan judi dalam talian dan loteri awam tanpa lesen pada Sabtu dan semalam.

Serbuan dilakukan di Alor Setar, Sik dan Kulim itu berdasarkan maklumat dan pemantauan yang dilakukan.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari, berkata dalam serbuan pertama di Kulim, sepasukan pegawai dan anggotanya menyerbu sebuah premis tambah nilai judi dalam talian di Kampung Tebuan, Karangan pada jam 6 petang, Sabtu lalu.

Beliau berkata, seorang lelaki berusia 29 tahun yang berasal dari Terengganu dan memiliki sembilan rekod jenayah termasuk dua dikehendaki polis kemudian ditahan di premis berkenaan untuk membantu siasatan.



“Selain itu, dua lagi lokasi serbuan adalah di sebuah kontena di tepi jalan Kampung Tebuan dan di sebuah premis Taman Selasih, Kulim yang disyaki menjalankan aktiviti sama.

“Dua lelaki ditahan masing-masing berusia 23 dan 45 tahun di dua lokasi berkenaan dan kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Roze berkata, dalam serbuan di Lunas, Kulim pihaknya menahan seorang lelaki berusia 24 tahun iaitu pembantu kedai yang mempunyai lima rekod jenayah berkaitan aktiviti perjudian ditahan sekali lagi kerana menjalankan aktiviti penjualan judi loteri awam tanpa lesen di kawasan Taman Kangkong.

Sementara itu, dalam serbuan kelima di tepi jalan Pekan Sik pada jam 3.29 petang semalam, pegawai dan anggotanya menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun kerana disyaki menjalankan aktiviti sama dan dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 4A(a) ARTJ 1953.



Katanya, pihaknya merampas pelbagai barangan termasuk tiga slip putih disyaki nombor loteri awam, telefon bimbit serta mesin pencetak untuk tindakan lanjut.

“Dalam serbuan di Alor Mengkudu, di Alor Setar semalam pula, polis menahan seorang wanita berusia 45 tahun kerana menjalankan aktiviti menjual tambah nilai judi dalam talian.

“Wanita itu mendakwa terbabit menjalankan perniagaan itu sejak tiga bulan lalu dan menerima upah daripada seorang lelaki sebanyak RM100 sehari,” katanya.

Mohd Roze berkata, sepanjang tahun ini bermula 1 Januari hingga 23 Jun, sebanyak 1,141 serbuan dilakukan oleh pihak JSJ Kedah yang membabitkan pelbagai kesalahan judi.

Beliau berkata, serbuan membabitkan judi dalam talian adalah sebanyak 628, judi loteri awam (495), judi dalam bangunan (13) dan judi luar bangunan (5).

“Tindakan pembanterasan premis perjudian dalam talian yang membabitkan jumlah pemotongan bekalan elektrik di negeri ini adalah sebanyak 104 premis,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker