Inai Kiara ambil semula pekerja diberhentikan

KUALA LUMPUR: Inai Kiara Sdn Bhd, antara pakar pengorekan terbesar di negara ini, mula mengambil semula rakyat Malaysia yang telah kehilangan pekerjaan dengan syarikat itu.

Jumlah kakitangan Inai Kiara yang dulunya mencecah beberapa ribu orang dengan kira-kira 95 peratus adalah warga tempatan, kini berkurangan kepada kurang 500 orang berikutan tekanan kewangan akibat COVID-19.

“Kami kini terbuka untuk mengambil semula pekerja dan keutamaan kami adalah rakyat Malaysia,” kata Ketua Eksekutif Inai Kiara, Quzaim Mohamad Guljar Mohamad pada temu bual bersama NST.



“Mengimbas semula, amat menyedihkan saya terlalu banyak pekerjaan terpaksa dihentikan kerana episod ini tetapi ia kini menyebabkan saya berasa marah. Marah kerana pekerjaan itu boleh diselamatkan. Disebabkan COVID-19, mungkin tidak semua, namun yang pasti sebahagiannya,” katanya lagi.

Quzaim menegaskan kekecewaannya bertambah apabila beliau mendengar bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke didakwa berkata di Parlimen, syarikat itu bankrap.

Ia susulan pemberian kontrak jangka panjang bagi kerja pengorekan dan penambakan di pelabuhan negara kepada anak syarikatnya, Inai Kiara Integrated Marine Works Sdn Bhd baru-baru ini.

Loke dilaporkan mengkritik kerajaan kerana tidak mengumumkan pelantikan itu kerana ia membabitkan kepentingan negara.



Quzaim mendakwa, bekas menteri itu enggan berjumpa Inai Kiara yang beberapa kali menulis surat kepadanya.

“Kami tidak pernah muflis. Pendirian yang salah telah menyebabkan banyak orang sakit, menyakitkan saya.

“Ini (Asia) adalah benua dengan populasi 4.56 bilion orang. Kami adalah syarikat Melayu yang mendapat sifar pinjaman mudah daripada kerajaan, geran daripada kerajaan dan sifar pelaburan kerajaan ke dalam syarikat.

“Apabila kami mati kerana tekanan kewangan, saya marah apabila mengetahui bahawa kami mempunyai Menteri Pengangkutan yang enggan bertemu dan sekarang kami tahu bahawa dia menyangka kami adalah syarikat muflis. Saya tertanya-tanya mengapa bekas menteri itu tidak mengesahkan fakta,” soalnya.



Quzaim berkata, menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Wee Ka Siong, daripada kontrak bernilai RM2.28 bilion yang disiapkan syarikat itu sehingga kini, Inai Kiara telah melabur semula kira-kira RM2.2 bilion ke dalam perniagaan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button