Mat Kilau terus dominasi filem ‘box office’

Kuala Lumpur: Selepas 33 hari ditayangkan, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berjaya mencatat kutipan RM90 juta sekali gus menjadi filem ‘box office’ Malaysia tertinggi tempatan dan antarabangsa selepas Munafik 2 dan Avengers: Endgame.

Pengarahnya Syamsul Yusof berkata, dia menangis atas kejayaan dicapai filem itu.

“Air mata syukur, tiada kata melainkan Alhamdulillah. Saya dan seluruh pasukan amat terharu.

“Mengejutkan lagi apabila Mat Kilau menjadi filem nombor satu dalam carta ‘box office’ mingguan untuk lima minggu berturut-turut mengetepikan filem besar Hollywood,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Syamsul, pencapaian itu membuktikan filem Melayu masih boleh berdiri sendiri.

“Terima kasih penonton kerana masih terus memberi kepercayaan kepada karya saya kali ini dan semua filem saya sebelumnya. Sejak dari filem pertama hinggalah sekarang. Insya-Allah moga terus diberi ilham untuk filem akan datang.

“Ini juga terbukti beberapa kali karya filem Melayu masih boleh berdiri di bumi sendiri. Ini harapan baru pawagam tempatan dan buat semua anak seni tanah air. Ayuh semua pengkarya filem, ayuh bersatu demi kita sama-sama majukan industri seni Malaysia,” katanya.

Dalam masa sama, menurut Syamsul filem terbitan Studio Kembara yang mula ditayangkan pada 23 Jun lalu masih rancak ditayangkan di seluruh pawagam.

Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan membariskan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As’ari dan ramai lagi.

METRO

Leave a Reply