Remaja dibakar kerana didakwa curi RM100

Chukai: Polis sudah menahan enam lelaki berusia antara 18 hingga 28 tahun bagi membantu siasatan seorang remaja berusia 15 tahun dibakar sekumpulan lelaki di Kampung Perasing Jaya Jabur, Kemaman, dekat sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada tuduhan yang mengatakan remaja itu mencuri wang sebanyak RM100.

“Mangsa dipercayai disimbah minyak sebelum dibakar sehingga melecur dari leher hingga ke bahagian depan dan belakang badan,” katanya.

Sehubungan itu, Hanyan berkata, polis meminta orang ramai atau saksi kejadian berkenaan tampil bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, polis percaya ada individu lain menyaksikan kejadian yang berlaku pada awal pagi itu, termasuk yang membantu memadam api pada badan mangsa.

“Selain itu, dipercayai ada individu yang membawa remaja terbabit pulang ke rumah mangsa yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.

“Pihak polis berharap individu terbabit atau saksi kejadian diminta supaya tampil membantu siasatan polis.

“Kita meminta kerjasama saksi kerana kes ini sangat serius dan berkemungkinan mangsa akan mengalami kecacatan kekal akibat perbuatan itu,” katanya.

Hanyan berkata, pihaknya turut berharap kepada orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dengan menghukum mana-mana individu biarpun individu itu bersalah sebaliknya perlu menyerahkan kepada polis.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker