Seludup minyak masak, lesen 14 syarikat ditarik balik



KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 14 syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi ditarik balik lesen dan dihadapkan ke mahkamah selepas dikesan menyeludup barangan itu ke negara jiran.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata ia adalah antara tindakan tegas dilaksanakan kerajaan bagi mengatasi isu ketirisan minyak masak bersubsidi, yang dikesan dijual secara terbuka di Thailand.

“Kementerian tiada indeks ketirisan setakat ini, cuma kita sudah menarik balik lebih daripada 14 syarikat (pembungkus minyak masak bersubsidi).

“Ketika ini, kita dalam proses penghakiman di mahkamah berkaitan dengan isu ketirisan atau penyeludupan minyak masak ke negara jiran.



“Kita juga akan meneliti peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai pembungkus minyak masak bersubsidi untuk memastikan mereka boleh menyumbang dalam mengatasi masalah ketirisan minyak ke luar negara,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang bertanya sama ada kementerian itu mewujudkan indeks ketirisan serta jumlah syarikat yang ditarik balik lesen kerana menyeleweng minyak masak bersubsidi, selain peranan GLC dalam program minyak masak bersubsidi.

Menjawab soalan asal Ahmad Jazlan sama ada kementerian bercadang meneruskan subsidi minyak masak tulen botol, Rosol memaklumkan, subsidi sementara untuk minyak masak botol satu hingga lima kilogram hanya dilaksanakan antara Ogos 2021 hingga Jun lalu.

Bagaimanapun, katanya, penamatan subsidi sementara itu bukan bererti kerajaan tidak prihatin pada beban rakyat yang berdepan isu kenaikan mendadak harga barangan mentah.



“Sehingga hari ini, kerajaan masih meneruskan Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) iaitu subsidi minyak masak dalam pek polibeg satu kilogram dengan harga jualan runcit RM2.50.

“Dalam tempoh 11 bulan hingga Jun lalu, subsidi yang diperuntukkan kerajaan untuk minyak masak satu, tiga dan lima kilogram adalah berjumlah RM382,102,451.71.

“Ini untuk minyak masa sahaja. Ertinya, jika turut mengambil kira subsidi untuk bahan lain seperti gas, petrol, gula dan sebagainya adalah lebih banyak lagi,” katanya.

Kepada soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim-Banda Baharu) mengenai ikhtiar kerajaan untuk mengoptimumkan subsidi, memastikan ia sampai kepada kumpulan sasar dan penguatkuasaan, Rosol berkata, pihaknya mewujudkan sistem audit khusus terhadap syarikat yang membungkus minyak masak bersubsidi.



“Melalui sistem audit ini, kita dapat melihat di mana kebocoran berlaku. Kita ada kesan ketirisan di peringkat pembungkus seludup ke luar negara, dan ada juga pemborong seludup ke luar negara.

“Melalui audit ini, kita yakin akan dapat sekurang-kurangnya mengurangkan ketirisan minyak masak subsidi ini dalam masa terdekat, jika tidak dapat atasi sepenuhnya masalah ini,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker