Suami isteri ditahan, polis rampas dadah RM2 juta

Ipoh: Polis membongkar aktiviti pengedaran dadah membabitkan suami isteri dalam dua serbuan berasingan di Ipoh, Khamis lalu.

Menerusi serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, lbu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) pada jam 4.40 petang itu, polis merampas lebih 20 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine, keseluruhannya bernilai kira-kira RM2 juta.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek, lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan di parkir sebuah pusat makanan di sekitar kawasan Jalan Raja Musa Mahadi, manakala isterinya warganegara Vietnam berusia 38 tahun ditahan di tepi jalan, sekitar kawasan Panorama Lapangan Perdana.



“Hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta yang dipandu suspek lelaki berkenaan, membawa kepada penemuan 10 bungkusan plastik warna hijau bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 10,356.00 gram.

“Pemeriksaan susulan dilakukan terhadap sebuah kereta di parkir sebuah pangsapuri di sekitar Ipoh pula menjumpai 10 bungkusan plastik warna hijau yang sama disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 10,339.000 gram,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) di sini, hari ini.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut menyita jam tangan tulisan Rolex, rantai kaki, cincin dan gelang, keseluruhannya bernilai RM 83,315.



Mior Faridalathrash berkata, ujian saringan air kencing dijalankan ke atas suspek lelaki mendapati positif methamphethamine, manakala isterinya negatif dari sebarang jenis dadah.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek lelaki bekerja di sebuah kedai cermin dan aluminium, manakala isterinya tidak bekerja.

“Semakan rekod kesalahan lampau mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya.

Katanya, suspek direman selama tujuh hari mulai 22 Julai sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button