Mengamuk ‘port’ sabung ayam diserbu

Julau: Empat lelaki ditahan apabila gelanggang menyabung ayam di kawasan lapang kebun kelapa sawit Dayu, Pakan diserbu polis, semalam.

Bagaimanapun dalam tangkapan itu, seorang suspek berusia 54 tahun bertindak agresif dengan menjerit sambil menolak ketua operasi daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau.

Ketua Polis Daerah Julau Deputi Superintendan Andam Sulin berkata, pegawai polis menerangkan mengenai serbuan itu berlandaskan undang-undang sedia ada.

“Suspek enggan memberi kerjasama dan menolak pegawai itu, yang memaksanya mengarahkan anggota untuk menangkap suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.



Beliau berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugas sebagai pegawai serbuan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Menjelas mengenai serbuan Op Dadu Khas yang dijalankan 2.30 petang itu, Andam berkata ia dilakukan hasil maklumat yang diterima.

Namun, katanya hanya empat orang berusia 50 hingga 60 tahun ditangkap termasuk suspek yang bertindak agresif itu.

“Sekumpulan orang yang menyedari kehadiran pihak polis bertempiaran lari ke kawasan hutan berhampiran,” katanya.



Andam menambah hasil serbuan turut merampas dua ayam hidup, tiga ayam mati, alat penimbang, dua kotak tertulis jadual pertaruhan, dua taji dan wang tunai berjumlah RM430.

Katanya tangkapan dan rampasan di siasat mengikut Seksyen 3(1) Langkah-langkah Pencegahan dan Penganiayaan Binatang 1962 dan jika disabitkan kesalahan, kesemua suspek akan dihukum mengikut seksyen 5(3) Ordinan yang sama iaitu penjara tiga bulan atau denda lima ratus ringgit.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker