Mimpi tunang akan pulang 26 hari bulan

Pasir Gudang: Mimpi menjadi petanda jasad Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, 24, yang sebelum ini dilaporkan hilang sejak 29 Oktober tahun lepas, ditemukan.

Tunang Allahyarham, Nurfaizah Mahadi, 25, berkata, sepanjang hampir 10 bulan, dua kali dia bermimpi mengenai arwah.

Katanya, pada mimpi pertama, dia hanya sempat bertanyakan ke mana pergi tunangnya tetapi dibalas dengan senyuman arwah.



“Saya ada mimpi dua kali bertemu arwah, dalam mimpi pertama saya tanya dia, awak pergi mana? Tetapi dia senyum tunjuk ke satu arah dan hilang, sebelum saya terjaga dari tidur.

“Kali kedua saya bermimpi saya dapat menghubungi arwah dan dia angkat. Saya bertanya dalam mimpi itu, awak di mana? Semua orang mencari awak. Arwah cakap saya ada sini, dalam 26 hari bulan nanti saya balik la.

“Saya mimpi awal tahun ini, saya bersyukur Iman ditemukan. Saya reda dengan ketentuan takdir Allah,” katanya selepas selesai urusan pengebumian Muhammad Iman Aqmar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih di sini, awal pagi hari ini.

Norfaizah turut melahirkan rasa syukur, kerana jawapan kepada persoalan hampir 10 bulan mengenai keberadaan tunangnya sudah terjawab.



Katanya, dia sering risau akan keadaan tunangnya sejak lelaki itu hilang, 29 Oktober tahun lalu.

“Saya rasa bersyukur selama hampir 10 bulan kami menunggu jawapannya, sekarang sudah terjawab di mana dia berada.

“Ada kuburnya, saya bersyukur sangat. Saya rasa bersyukur sangat kerana, ini jawapan yang saya tunggu, selama 10 bulan ini saya selalu fikir dia di mana? Dia makan ke atau tidak?” katanya.

Muhammad Iman Aqmar dan Nurfaizah sepatutnya melangsungkan pernikahan ketika ulang tahun kelahiran tunangnya itu pada Disember lalu, namun hajat mereka tidak kesampaian.



Perkahwinan mereka sepatutnya diadakan pada Ogos tahun lalu, namun ditangguhkan pada Disember lalu kerana ayah Norfaizah meninggal dunia.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button