PDRM buat permohonan bawa pulang ‘Jho Low 2’

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses permohonan untuk membawa pulang ahli perniagaan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Thailand, Jumaat lalu ke negara ini bagi membantu siasatan kes penipuan.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata Teow Wooi Huat adalah individu yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Penama (Wooi Huat) kini ditahan pihak berkuasa Thailand. Kita sedang dalam proses permohonan untuk penama dihantar pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.



BH hari ini melaporkan, Polis Johor akan menyemak status siasatan berhubung kes penipuan pembelian hartanah berkait oleh Wooi Huat atau lebih dikenali sebagai Teddy Teow itu.

Pada 3 Januari lalu, bekas Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang media memberitahu, polis sedang mengesan tiga perancang utama penipuan Macau Scam menerusi pembelian hartanah bernilai RM336 juta di Pulau Pinang.

Katanya, Teddy Teow berperanan sebagai pembeli yang berurusan dengan syarikat pemaju, manakala dua anaknya, Teow Ee Meng, 30, dan Teow Chee Chow, 32, pula adalah dua ‘proksi’ yang juga pengarah syarikat bagi Tuah Semenanjung Sdn Bhd dan MBI Properties Sdn Bhd.

Ia susulan laporan siasatan awal diterima Ogos tahun lalu di Pekan Nanas, Pontian, dan Nusa Bestari, Iskandar Puteri, membawa kepada pembongkaran kegiatan sindiket itu seterusnya tangkapan 12 individu tempatan yang juga pengarah syarikat berusia antara 29 hingga 68 tahun pada 3 hingga 21 Disember lalu.



Terdahulu, media Thailand melaporkan pihak berkuasa negara itu menahan Teddy Teow kerana didakwa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram hasil aktiviti perjudian dalam talian di selatan Thailand.

Teddy Teow, 55, dilaporkan ditahan di ibu pejabat syarikatnya, MBI Group di Danok berhampiran sempadan daerah Sadao, awal pagi Jumaat lalu.

Bernama kelmarin pula melaporkan, visa lelaki itu dibatalkan dan sedang menunggu untuk diusir keluar oleh pihak berkuasa Thailand.

Penguasa Polis Sadao, Kolonel Bunthaeng Laocharoen, dilaporkan berkata Teddy Teow yang juga pengasas MBI Group International sudah diserahkan kepada Polis Imigresen di Songkhla dan kemudian dipindahkan ke Pejabat Imigresen Suan Plu di Bangkok.



Katanya, Teddy ada dalam senarai Notis Merah Interpol dan dipanggil bagi dimaklumkan visanya dibatalkan dan tidak akan didakwa di Thailand.

Teddy Teow dianggap sebagai ‘Jho Low 2’, perancang utama penyelewengan wang berbilion dolar daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button