10 jam paraglider tersangkut di pokok diselamatkan

KOTA KINABALU: Penggemar sukan luncur udara (paraglider) yang tersangkut lebih 10 jam di pokok di Bukit Kokol, Menggatal sejak tengah hari semalam diselamatkan malam tadi.

Mangsa, lelaki berusia 35 tahun yang tersangkut di pokok setinggi 30 meter itu dibawa turun pada jam 10.13 malam oleh pasukan operasi bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata mangsa mengalami beberapa kecederaan ringan di badan.

Bomba kemudian mengiringi mangsa ke pos kawalan yang terletak sejauh dua kilometer dari lokasi mangsa terjatuh dan tersangkut.

“Mangsa seterusnya diberi rawatan oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di pos kawalan sebelum dihantar ke rumah penginapan mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari semalam, mangsa yang melakukan aktiviti luncur udara dipercayai gagal mengawal payung terjun kendaliannya sebelum tersangkut di atas pokok berkenaan.

Bomba yang menerima panggilan kecemasan pada jam 12.12 tengah hari kemudian mengerahkan 22 anggota dan pegawai termasuk Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) ke lokasi mangsa tersangkut.

Operasi menurunkan mangsa berjaya dilakukan dengan bantuan peralatan dron daripada kelab Dron D’Bayu yang turut hadir membantu di lokasi.

Difahamkan, dron berkenaan digunakan untuk menghantar tali dan peralatan diperlukan kepada lelaki terbabit sebelum operasi menyelamatkan mangsa dijalankan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker